AM > BERITA

Bekas Pertahanan Harimau Malaya Nazirul Naim Kini 'Beraksi' Di Kafe Sendiri

14/03/2026 02:08 PM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 14 Mac (Bernama) -- Pernah menjulang trofi Piala Malaysia 2018 bersama Perak, Nazirul Naim Che Hashim kini beralih 'beraksi' di mesin kopi di ‘Twenty One Cafe’ miliknya selepas kecederaan menamatkan karier bola sepaknya yang gemilang.

Bekas pemain pertahanan kiri Harimau Malaya itu membuat keputusan meninggalkan dunia bola sepak profesional pada 2024 di usia 31 tahun selepas kecederaan lutut serius (cartilage) yang dialaminya ketika bersama KL City FC menjadi titik perubahan dalam hidupnya.

"Saya alami kecederaan dan tamat kontrak pada 2023...dalam tempoh pemulihan itu, saya dah tak ada pendapatan," katanya kepada Bernama.

Anak jati Kuala Kangsar yang juga pernah menyarung jersi kelab Jepun FC Ryukyu dan Sabah FC itu berkata fasa awal persaraannya diisi dengan membantu isteri menjual mi kari dan laksa sebelum beliau memberanikan diri menceburi perniagaan minuman.

Nazirul Naim, 33, berkata beliau mengasaskan jenama ‘Street 21 Coffee’ secara kecil-kecilan di Jalan Carlos, Canning Garden di sini dengan menjual air bancuhan sebelum nekad mendalami ilmu tentang kopi melalui YouTube dan rakan-rakan bagi meningkatkan perniagaannya.

Nazirul Naim berkata beliau kemudian beralih ke konsep perniagaan bergerak menggunakan van di beberapa kawasan sekitar Ipoh dengan menjual air kopi seawal 7.30 pagi.

“Rutin harian yang mencabar ini dilalui selama enam bulan demi mengumpul modal bagi membeli peralatan kopi yang lebih canggih serta meluaskan jangkauan perniagaan kepada peminat kopi tegar di sekitar Ipoh,” katanya.

Nazirul Naim memberitahu tekad untuk memiliki sebuah kafe sendiri akhirnya tercapai dengan pembukaan Twenty One Cafe di Meru pada Januari lepas yang beroperasi setiap hari bermula 4 petang hingga 12 malam.

Nama kafe itu diambil sempena nombor jersi yang sering dipakai Nazirul Naim sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata meskipun tidak mempunyai sijil barista secara formal, beliau mengambil inisiatif belajar sendiri melalui YouTube dan tunjuk ajar rakan-rakan sebelum melaburkan modal hampir RM100,000 untuk membangunkan kafe impiannya itu.

Meskipun rindu untuk beraksi di padang, Nazirul Naim menyifatkan penghijrahannya ke dunia perniagaan sebagai satu pusingan 360 darjah yang memberikan kepuasan baharu buat dirinya.

"Sejujurnya memang rindu dan saya masih ambil tahu mengenai perkembangan bola sepak tempatan tetapi apabila saya memikirkan balik dengan keadaan, isu-isu yang saya pernah hadapi seperti masalah gaji…saya nak bersungguh-sungguh dengan apa yang saya buat sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Nazirul Naim menitipkan pesanan kepada pemain-pemain muda supaya mempunyai perancangan masa depan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kerjaya bola sepak yang melibatkan tempoh singkat.

"Kita ada satu tempoh kontrak dan saya harap selepas daripada kita bermain bola sepak, kita tahu apa yang kita perlu buat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan