AM > BERITA

Bantuan Tanam Semula Getah Risda Di Sarawak Meningkat Kepada RM23,000 Sehektar

14/03/2026 11:16 PM

SAMARAHAN, 14 Mac (Bernama) -- Bantuan Program Tanam Semula Getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Sarawak meningkat daripada RM14,805 kepada RM23,000 sehektar, mulai tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelaksanaan peningkatan sebanyak RM8,195 sehektar atau 55 peratus itu bertujuan memperkasakan lagi sektor pekebun kecil getah di negara ini, khususnya di Sarawak. 

“Cadangan kenaikan telah mengambil kira peningkatan semasa kos pembangunan kebun, khususnya di Sarawak dan Sabah, merangkumi kos input, buruh, diesel bersubsidi serta faktor pengurusan kebun. 

“Langkah ini memastikan bantuan disalurkan sehingga peringkat pengeluaran hasil,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil Risda Sarawak di Masjid Darul Istiqamah, Kampung Niup, di sini, hari ini.

Beliau berkata bantuan akan dibayar melalui lima fasa ansuran yang meliputi bantuan penyediaan kebun, penyediaan benih, baja dan juga input tanah yang lain.

Pada masa sama, beliau berkata kadar baharu bantuan sama bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Ahmad Zahid berkata langkah meningkatkan kadar bantuan berkenaan juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh pasaran komoditi getah melalui kepelbagaian penggunaan bahan mentah itu dalam pelbagai sektor industri.

Beliau berkata pihak Risda bersama beberapa agensi lain berkaitan juga akan terus memperluas penggunaan getah dalam pelbagai produk dan bahan baharu bagi memastikan pasaran komoditi itu terus berkembang.

“Kita sedang mempelbagaikan penggunaan getah antaranya biodiesel. 

“Tujuannya bagi mendapat pasaran yang lebih baik kepada bahan getah agar akhirnya penoreh getah, pekebun-pekebun kecil getah di seluruh negara akan menikmati harga getah yang lebih tinggi satu hari nanti,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan