LABUAN, 14 Mac (Bernama) -- Perbadanan Labuan (PL) mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi kadar sewa bulanan untuk peniaga yang beroperasi di pasar basah dan kering di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasar Sentral Labuan di sini, sekali gus memberi manfaat kepada 517 orang golongan itu.
Pengurangan berkenaan dilaksanakan bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini melibatkan gerai dengan kadar sewa bulanan antara RM35 hingga RM3,500 yang dijangka membantu merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata keputusan untuk memberikan diskaun sewa adalah sebagai maklum balas terhadap cabaran yang dihadapi peniaga kecil di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi pada masa ini.
“Kita percaya pengurangan kos sewa ini akan meringankan beban kewangan mereka (peniaga) serta memberi ruang kepada mereka untuk ‘bernafas’ dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Nur Ramadan di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu dijangka memberi implikasi kewangan sebanyak RM450,000 kepada PL pada tahun ini.
Menurut Hannah, pengurangan sewa itu turut akan diperluas kepada 56 premis PL di Medan Selera dan Anjung Selera di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, melibatkan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM123,000 kepada agensi itu tahun ini.
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan di Wilayah Persekutuan akan terus mengamalkan perbelanjaan berhemat selaras dengan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial