AM > BERITA

Belajar Puasa Sejak Darjah Enam, Muhammad Adam Tertarik Peluk Islam

14/03/2026 11:56 PM

KEPALA BATAS, 14 Mac (Bernama) -- Ketika rakan sebayanya menunggu waktu berbuka puasa di masjid, seorang kanak-kanak berketurunan Cina berusia 12 tahun turut sama berlapar dan menahan dahaga.

Tertarik dengan agama Islam sejak di bangku sekolah, Muhammad Adam Abdullah, 23, kini menjalani ibadah puasa mengikut tuntutan agama sebagaimana rakan-rakannya dahulu, selepas dia bergelar saudara baharu pada April tahun lepas.

“Saya mula berpuasa sejak darjah enam, malah kerap ikut kawan-kawan pergi masjid dan berbuka puasa.

“Seterusnya minat semakin mendalam apabila guru agama di sekolah sering berkongsi cerita dan menerangkan tentang ajaran Islam. Saya mula belajar tentang Islam secara serius tiga tahun lepas,” katanya.

Muhammad Adam yang bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak di Bayan Lepas, dekat sini, ditemui selepas Majlis Iftar Jamaie dan Penyampaian Sagu Hati Aidilfitri kepada saudara baharu di Masjid Jamek Ar Rahman, Permatang Rambai di Penaga di sini.

Majlis itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Taib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Mendirikan rumah tangga dengan Nursyafiqah Husna Mohamad pada Oktober lepas, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata keluarganya hanya mengetahui tentang dirinya memeluk Islam selepas dia berkahwin.

“Setakat ini keluarga boleh terima saya memeluk agama Islam. Dalam tempoh dua bulan ini, saya menyambut dua perayaan iaitu Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, malah ketika Tahun Baharu Cina bulan lepas, saya pulang meraikannya bersama ibu bapa serta keluarga," katanya.

Muhammad Adam bersyukur atas bantuan diberikan sebagai saudara baharu itu yang akan digunakannya untuk persiapan menyambut hari raya.

Seorang lagi mualaf, Stephanie Aisyah Jibril, 24, berkata biarpun baru memeluk Islam tahun lepas, pengalaman berpuasa bukan sesuatu yang asing baginya kerana pernah mencuba ibadah itu sejak di sekolah menengah.

Minat mendalami Islam, katanya timbul selepas dia membuat perbandingan antara agama Kristian dianutinya dengan Islam dan kemudian memeluk Islam pada 6 April tahun lepas dengan dorongan seorang rakan.

“Pada awalnya saya mengakui agak bimbang untuk berkongsikan keputusan dengan keluarga kerana takut tidak dapat diterima tetapi alhamdulillah selepas saya beritahu, keluarga saya terbuka mengenainya,” katanya. 

Stephanie Aisyah yang menetap di Seberang Perai dan berkahwin dengan Muhammad Ali Mustafa pada Oktober tahun lepas berkata dia berasa dihargai dan diterima sebagai sebahagian daripada komuniti Islam apabila menerima bantuan pada majlis hari ini.

Pada majlis itu sebanyak 150 mualaf menerima sumbangan daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan