KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Selepas pelancaran laman sesawang baharu yang lebih moden dan mesra pengguna, Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenal sistem giliran digital bagi perkhidmatan kaunter di seluruh cawangan bermula semalam.
Melalui sistem giliran digital yang dikenali sebagai TH Digital Queue, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR dan akan menerima notifikasi nombor giliran di telefon pintar sebelum berurusan di kaunter TH.
“Kini pelanggan boleh menguruskan masa dengan lebih sistematik, tidak perlu menunggu lama di kaunter dan boleh berada di mana-mana dengan memantau nombor giliran melalui telefon pintar masing-masing.
“TH Digital Queue juga dilengkapi dengan fungsi penilaian Indeks Kepuasan Pelanggan, e-Borang maklum balas pelanggan dan informasi untuk pendeposit,” menurut TH dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata inisiatif yang ditambah baik itu adalah bagi menyokong pemerkasaan digital TH di seluruh negara bagi meningkatkan kecekapan serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih mudah, ringkas dan lancar.
Beliau berkata pengenalan sistem itu adalah langkah berterusan pendigitalan TH bagi memudahkan urusan pendeposit tanpa perlu beratur panjang dan menunggu lama untuk mendapatkan nombor giliran.
“TH yakin sistem TH Digital Queue ini akan membantu melancarkan lagi urusan pelanggan di kaunter kami di seluruh Malaysia di samping memastikan proses pengendalian maklum balas pelanggan diuruskan dengan telus dan segera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial