AM > BERITA

Hari Hutan Antarabangsa 2026: Catuan Tebangan Dikurangkan Demi Kelestarian - Arthur

21/03/2026 02:06 PM

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan terus memperkukuh komitmen terhadap pengurusan hutan secara lestari apabila menetapkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), pada keluasan 890,000 hektar, berbanding 1,165,300 hektar dalam tempoh RMK12.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pengurangan CTT itu merupakan langkah strategik bagi mengimbangi keperluan ekonomi dan pemeliharaan hutan, selain memperkukuh amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) di negara ini.

Beliau berkata langkah tersebut bukan sahaja memberi impak positif terhadap usaha pemuliharaan hutan malah memastikan bekalan kayu kepada industri dapat dikekalkan secara berterusan dalam kuantiti yang stabil.

"Pada 2025, sektor perhutanan dan pertanian telah mencatatkan sumbangan berjumlah RM6.006 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

"Ini sekali gus menunjukkan impak ekonomi positif melalui aktiviti pengusahasilan hutan secara mampan yang merangkumi aktiviti pengeluaran hasil hutan dan pembalakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa.

Arthur berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan jabatan perhutanan negeri giat memperkasakan kawasan ekopelancongan berasaskan hutan yang mempunyai ciri-ciri keunikan semula jadi.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan langkah proaktif bagi menyokong jabatan perhutanan negeri dan pihak berkuasa negeri khususnya dalam mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti pengusahasilan hutan konvensional seiring dengan usaha mentransformasi sektor pembalakan kepada pembangunan ekopelancongan yang lebih lestari.

Selain itu, Arthur berkata Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-81 telah bersetuju supaya kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penggunaan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) untuk membiayai keperluan kewangan bagi penambahbaikan proses permohonan dan bayaran Permit Memasuki HSK bagi aktiviti ekopelancongan berasaskan hutan secara dalam talian.

"Sejajar dengan usaha pemerkasaan ini, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran komuniti luar bandar terhadap kepentingan pemuliharaan dan kelestarian alam semula jadi melalui program latihan dan bimbingan teknikal," katanya.

Beliau berkata antara komuniti yang terlibat termasuk Persatuan Sahabat Alam Tampik, Janda Baik (Pahang), Koperasi Usahawan Pelancongan Lembah Tembeling, Jerantut, Koperasi Pelancongan Dabong Bhd (Kelantan) serta Koperasi Sahabat Gunung Tebu Terengganu Bhd.

"Hasil daripada bimbingan ini, komuniti setempat kini berupaya mengurus dan menjalankan aktiviti serta perniagaan berasaskan ekopelancongan dan rekreasi secara lebih sistematik, berdaya saing dan mampan, tanpa menjejaskan ekosistem hutan," katanya.

Arthur berkata hutan yang kaya dengan kepelbagaian biologi bukan sahaja memberikan manfaat kepada alam sekitar, malah menjadi warisan berharga yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

"Justeru, komitmen berterusan dalam memelihara dan memulihara aset ini amat penting agar kelestariannya dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia, kini dan selamanya," katanya.

Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan dan menggalakkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan demi kesejahteraan masyarakat serta kestabilan ekosistem alam sekitar.

Tema sambutan tahun ini ialah Hutan dan ekonomi (forests and economies) yang meraikan peranan penting hutan dalam memacu kemakmuran ekonomi global.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan