AM > BERITA

Konflik Asia Barat: Bekalan Ubat Negara Stabil, Pasukan Petugas Ditubuh Pantau Impak

23/03/2026 01:46 PM

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bekalan ubat-ubatan dalam negara ketika ini berada pada tahap stabil dan terkawal meskipun berlaku konflik di Asia Barat. 

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesan konflik Asia Barat untuk jangka masa pendek adalah minimum berdasarkan penilaian semasa.

"Paras stok ubat fasiliti KKM disimpan antara satu hingga tiga bulan berdasarkan keperluan penggunaan dan disokong oleh stok penimbal tambahan hingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan pemantauan bekalan ubat turut dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Hingga semalam (22 Mac), tiada peningkatan trend dalam pelaporan PRH melibatkan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan," menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, maklum balas daripada pihak industri farmaseutikal tempatan menunjukkan pengilang tempatan mempunyai stok bahan mentah hingga tiga bulan dan produk siap sekitar dua bulan.

Pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing bagi memastikan kelangsungan bekalan ubat.

KKM memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat secara teliti dan komited mengambil langkah proaktif bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat kepada rakyat.

"Ini termasuk penubuhan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak industri farmaseutikal dan pihak berkepentingan berkaitan untuk pemantauan serta memastikan keterjaminan bekalan ubat terutama melibatkan ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) di Malaysia," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan