AM > BERITA

Rakan Tani Berkuasa AI Diperluas Ke Peringkat Kebangsaan

24/03/2026 09:42 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia secara rasmi memulakan pelaksanaan Rakan Tani ke peringkat kebangsaan, sebuah pembantu kecerdasan buatan (AI) tempatan yang direka untuk menyalurkan nasihat pakar pertanian secara masa nyata kepada pesawah melalui aplikasi WhatsApp.

Inisiatif itu hasil kerjasama antara Kementerian Digital, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Padiberas Nasional Bhd (Bernas) serta Global AI Village (GAIV).

Kementerian Digital dalam kenyataan memaklumkan Rakan Tani yang dibangunkan melalui NAIO Lab ialah penyelesaian AI buatan tempatan yang bertujuan menangani cabaran pertanian sambil mempercepat penggunaan AI di bawah visi Negara AI 2030.

Platform itu menyediakan panduan jelas berdasarkan perubahan cuaca, risiko perosak dan data lapangan, membolehkan petani membuat keputusan berasaskan maklumat dalam pembajaan, pengairan dan pengurusan tanaman. 

“Kadar Sara Diri (SSR) beras Malaysia kini pada tahap sekitar 50 peratus berbanding sasaran nasional 80 peratus menjelang 2030. Cabaran sebenar bukan kekurangan pengetahuan tetapi menterjemahkannya kepada tindakan yang konsisten di lapangan.

“Walaupun Malaysia mempunyai kepakaran agronomi yang kukuh, memperluas panduan harian yang diperibadikan kepada setiap pesawah masih menjadi cabaran,” menurut kenyataan itu.

Rakan Tani berfungsi sebagai pembantu pintar berasaskan AI yang menyediakan panduan jelas dan disesuaikan untuk setiap pesawah dengan enjin pintarnya sentiasa mengemas kini syor berdasarkan perubahan cuaca, risiko perosak dan keadaan ladang untuk membantu mereka membuat keputusan tepat pada masanya.

Melalui enjin penjadualan pintar, sistem itu mengekalkan pelan tindakan diperibadikan secara dinamik bagi setiap pesawah yang sentiasa dikemas kini berdasarkan perubahan cuaca, ancaman perosak dan keadaan tanaman untuk memastikan mereka sentiasa mengetahui “langkah terbaik seterusnya”. 

Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan peringkat kebangsaan itu susulan kejayaan program rintis selama 10 minggu melibatkan 42 pesawah di bawah Program Sawah Berskala Besar Bernas (SBB) di Sungai Manik, Perak.

Sebanyak 200 pesawah dijangka menggunakan platform itu menjelang akhir Mac, dengan perancangan untuk memperluas inisiatif itu kepada kira-kira 110,000 pesawah berdaftar di seluruh negara. 

Ciri yang dipertingkatkan termasuk analisis kelembapan tanah, pemantauan perosak yang lebih menyeluruh dan panduan penanaman merentas varieti padi tempatan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan AI memberi manfaat nyata kepada rakyat. 

“AI mesti memberikan nilai nyata kepada rakyat. Melalui Rakan Tani, kita membawa teknologi AI yang praktikal terus ke tangan pesawah, membolehkan mereka membuat keputusan lebih tepat dan meningkatkan produktiviti, seterusnya memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Matlamat kami ialah memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam era digital. Untuk membina Negara AI, kita mesti menunjukkan kepada rakyat bagaimana inovasi mampu menyelesaikan masalah harian.

“Dengan mendemokrasikan akses kepada kepakaran tahap tinggi, kita memastikan manfaat transformasi digital dirasai oleh pesawah di luar bandar sama seperti pembangun teknologi di bandar dengan matlamat untuk mempertingkatkan taraf hidup dan mata pencarian seluruh rakyat Malaysia.” katanya. 

Sementara itu, pesawah dari Sungai Manik Mohamad Fazeli Abdullah berkata hasil tuaiannya meningkat daripada empat tan kepada sembilan tan dalam satu kitaran selepas mengaplikasikan syor platform itu.

“Rakan Tani menjadi alat yang sangat penting dalam pengurusan sawah harian saya. Ia memberikan panduan jelas mengenai pembajaan, kawalan perosak dan pengurusan air. Dengan maklumat cuaca tepat dan amaran awal, saya tidak lagi bergantung kepada gerak hati dan hasil tuaian meningkat melebihi jangkaan,” katanya.

Inisiatif itu juga dijangka menyokong pemodenan pertanian dan membantu menarik minat penyertaan generasi muda dalam sektor yang kini didominasi golongan berusia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan