AM > BERITA

Aliran Trafik Lebuh Raya Utama Menghala Lembah Klang Mula Meningkat Petang Ini

24/03/2026 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara menunjukkan trend meningkat dan bergerak perlahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan yang menuju ke arah Lembah Klang setakat 4 petang ini.

Penyelia Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Muhammad Aliff Syafiq Md Takiyudin berkata kesesakan dikesan melibatkan arah utara, selatan serta pantai timur.

“Di bahagian selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat serta dari Pedas Linggi ke Senawang dan terus ke Port Dickson.

“Bagi arah utara pula, pergerakan perlahan dikesan di sekitar Pulau Pinang, iaitu dari Permatang Pauh ke Perai, selain kawasan Menora serta Gopeng ke Tapah,” katanya ketika tinjauan Bernama di Pusat Pengurusan Trafik LLM di sini, hari ini.

Beliau berkata aliran trafik dari pantai timur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) juga bergerak perlahan dari Karak dan Bentong menghala ke Lentang serta Bukit Tinggi, termasuk sebelum memasuki Plaza Tol Gombak menuju ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Mengulas tentang gangguan lalu lintas, Muhammad Aliff Syafiq berkata terdapat insiden kenderaan rosak yang menyumbang kepada kesesakan, antaranya di sektor utara selepas terowong (Menora) menghala pusat bandar yang menyebabkan kesesakan sepanjang tujuh kilometer (km).

“Selain itu, insiden lori rosak di sekitar Ayer Keroh turut menyebabkan aliran trafik perlahan sepanjang 12 km dari Jasin ke Simpang Ampat,” katanya.

Dalam pada itu, dua lokasi kebakaran belukar turut dilaporkan berhampiran lebuh raya, iaitu di KM 110 Lebuhraya Utara-Selatan dari Sungai Petani Selatan ke Bertam, serta di KM 21.6 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dari Seri Kembangan ke Putrajaya.

“Kedua-dua insiden tersebut menyebabkan lorong kiri terhalang bagi memberikan ruang kepada pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman api,” katanya.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan merujuk jadual waktu perjalanan yang dikeluarkan pihak konsesi atau menghubungi talian bantuan menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 untuk maklumat trafik terkini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan