KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan mengalami kesesakan malam ini berikutan orang ramai bergerak pulang ke ibu kota selepas cuti sambutan Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata bagi arah utara, kesesakan paling ketara dikesan di laluan Gopeng menuju ke Tapah hingga ke Bidor akibat kemalangan,
"Insiden melibatkan sebuah lori kontena dan motosikal di KM347.1 itu telah menyebabkan aliran trafik terganggu walaupun urusan pembersihan di lokasi telah selesai sepenuhnya 9.15 malam tadi," katanya ketika dihubungi Bernama.
Selain itu, pertambahan kenderaan turut menyebabkan aliran trafik dilaporkan perlahan di laluan Sungai Perak ke susur keluar Ipoh Utara serta pergerakan kenderaan dari Pematang Pauh menuju ke Perai.
Di bahagian selatan, trafik dilaporkan mula perlahan antaranya dari Pedas Linggi hingga ke susur keluar Port Dickson.
Bagi pengguna yang menghala ke arah Johor pula, kesesakan dikesan berlaku dari Simpang Renggam menuju ke Sedenak disebabkan jumlah kenderaan yang tinggi malam ini.
Sementara itu, aliran trafik bagi pengguna dari Pantai Timur dilaporkan mula perlahan dari Karak menuju ke Genting Sempah menghala ke Plaza Tol Gombak yang menyaksikan pertambahan kenderaan secara konsisten.
Beliau turut memaklumkan terdapat satu kejadian kemalangan di Lebuhraya ELITE di KM21.9 dari Gamuda Cove menghala ke Putrajaya yang turut menjejaskan kelancaran trafik di sekitar Lembah Klang.
Pihak LLM meramalkan aliran trafik ke ibu kota akan terus memuncak dan mencapai tahap maksimum pada Sabtu ini berdasarkan unjuran data perjalanan warga kota yang pulang ke kampung sebelum ini.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan lebih teliti, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan pemanduan jarak jauh.
"Pemandu juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi had laju serta mengekalkan jarak selamat di antara kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di saat-saat akhir musim perayaan ini," tambahnya.
Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau menerusi aplikasi navigasi bagi membantu pengguna mengelakkan titik-titik kesesakan utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial