AM > BERITA

Laman Air Di Hutan Bandar MBJB Ditutup Dua Hari Bagi Kerja Pembersihan, Penyelenggaraan

26/03/2026 01:13 PM

JOHOR BAHRU, 26 Mac (Bernama) -- Laman Air di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, ditutup selama dua hari bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihak pengurusan terpaksa mengambil tindakan menutup sementara kawasan rekreasi berkenaan berikutan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan segelintir pengunjung, untuk menjaga kebersihan dan kemudahan awam.

Beliau berkata lokasi tumpuan ramai itu dibangunkan kerajaan negeri bersama MBJB dan dibuka secara percuma kepada Bangsa Johor itu bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati ruang riadah yang kondusif dan berkualiti.

Namun begitu, katanya, amat menyedihkan apabila ada yang membiarkan anak-anak mereka membuang najis merata-rata serta tidak menjaga kebersihan kawasan tersebut.

"Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah boleh menjejaskan kesihatan pengunjung lain terutamanya kanak-kanak," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz turut menasihati semua pengunjung agar bersama-sama menjaga dan menggunakan kemudahan awam termasuk kawasan yang menjadi tumpuan iaitu 'Kids Pool' sebaiknya supaya boleh dinikmati oleh semua. 

"Justeru, marilah kita menunjukkan teladan yang baik, mendidik mereka tentang kepentingan menjaga kebersihan, menghormati kemudahan awam dan peka terhadap keselesaan orang lain," katanya sambil menambah nilai kecil itu akan membentuk generasi menjadi lebih beradab dan bertanggungjawab pada masa hadapan.

Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial memaparkan terdapat najis dilihat berhampiran kolam rekreasi berkenaan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata kira-kira 4,500 orang direkodkan mengunjungi Hutan Bandar tersebut untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan, pada hari pembukaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan