AM > BERITA

Laluan Xiamen-Pulau Pinang Rekod 220,000 Penumpang, Jana Impak Ekonomi RM100 Juta - Exco

26/03/2026 05:42 PM

GEORGE TOWN, 26 Mac (Bernama) -- Sejak pelancarannya pada 28 September, 2023, laluan penerbangan terus antara Xiamen, China dan Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Xiamen Airlines telah merekodkan sejumlah 220,000 penumpang hingga 15 Mac tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata dalam tempoh yang sama, syarikat penerbangan itu mengendalikan 1,526 penerbangan pergi balik dengan purata faktor muatan sebanyak 85 peratus, mencerminkan permintaan perjalanan yang stabil dan teguh antara Xiamen, di wilayah Fujian dan Pulau Pinang.

Beliau berkata laluan itu membawa impak ekonomi bernilai lebih RM100 juta kepada Pulau Pinang, yang memberi manfaat kepada sektor seperti perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman, perkhidmatan dan peruncitan.

“Xiamen dan Pulau Pinang berkongsi hubungan mendalam dan persahabatan yang telah lama terjalin. George Town dan Xiamen telah menjadi bandar kembar selama lebih 30 tahun dan mengekalkan hubungan rapat dari segi warisan sejarah, pertukaran budaya dan interaksi antara penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong ketika ini mengetuai delegasi kerajaan Pulau Pinang terdiri daripada wakil industri pelancongan negeri ke China bagi mengadakan jerayawara promosi pelancongan di Xiamen.

Beliau berkata China terus menjadi pasaran pelancongan utama bagi Pulau Pinang, dengan Xiamen berfungsi sebagai pintu masuk penting antara kedua-dua destinasi.

Menurutnya, hubungan udara antara kedua-dua bandar menjadi semakin kerap, mudah dan cekap  susulan pemulihan berterusan industri pelancongan.

“Sejak pelancaran laluan itu, kekerapan penerbangan bertambah daripada tiga kali seminggu kepada penerbangan harian, menawarkan perjalanan yang lebih fleksibel dan mudah kepada pelancong.

“Laluan terus itu bukan sahaja menarik penumpang dari Xiamen tetapi juga pelancong dari bandar berdekatan seperti Zhangzhou dan Quanzhou, serta seluruh Wilayah Fujian,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus bekerjasama rapat dengan Xiamen Airlines bagi memperkukuh lagi hubungan budaya dan pelancongan antara kedua-dua destinasi tersebut.

Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Wong berkata Penang Global Tourism (PGT) melancarkan video promosi baharu semasa jerayarawa tersebut, bertajuk In Love With Penang, dengan slogan  “Heartfelt Moments Begin Now”.

Kempen itu bertujuan menjadikan Pulau Pinang bukan sahaja sebagai destinasi utama untuk warisan dan gastronomi tetapi juga untuk mengetengahkan sektor baharu seperti pelancongan perubatan, pelancongan pelayaran, pelancongan perkahwinan dan pelancongan pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan