AM > BERITA

Daripada Tidak Tahu Mengaji, ODS PRP Kluang Kini Hafaz 12 Juzuk Al-Quran Dalam Enam Bulan

27/03/2026 11:02 AM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 27 Mac (Bernama) -- Seorang Orang Diselia (ODS) di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kluang berjaya menghafaz 12 juzuk al-Quran dalam tempoh enam bulan, sekali gus mengubah kehidupannya daripada tidak tahu mengaji kepada usaha bergelar hafiz.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz, 24, berkata perubahan itu berlaku selepas dia ditempatkan di PRP Kluang, setelah sebelum itu menjalani hukuman di Penjara Kluang sejak 2024.

Faiz berkata ketika mula dipenjarakan pada usia muda, dia berdepan kekosongan jiwa namun peluang mengikuti program pemulihan telah mengisi kehidupannya dengan ilmu agama dan kerohanian.

“Saya bercita-cita untuk menghafaz keseluruhan al-Quran sebelum dibebaskan dalam tempoh kurang setahun dari sekarang.

“Saya juga diamanahkan oleh Jabatan Penjara Malaysia untuk mengajar ODS lain mengaji dan menjadi imam serta kini dalam proses mendapatkan tauliah berkaitan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Faiz yang dipenjarakan atas kesalahan mencabul mengakui sebelum ini dirinya agak jauh daripada agama, namun bersyukur diberi peluang kedua untuk memperbaiki diri.

Sebelum ditempatkan di PRP Kluang, dia menyertai program tahfiz dikenali sebagai Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah (SATHK) iaitu inisiatif pemulihan bagi melatih penghuni membaca dan menghafaz al-Quran.

Pegawai Pentadbir PRP Kluang Penolong Penguasa Penjara Syarifuddin Kasimin berkata kejayaan Faiz adalah hasil penyertaan dalam Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) sebelum dibebaskan kelak.

“Walaupun PRPI yang disertai ODS ini dilaksanakan di dalam PRP, apabila dibebaskan kelak dia (Faiz) telah memiliki ilmu, khususnya dalam bidang keagamaan yang diselia oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ),” katanya.

Seorang lagi peserta PRPI dikenali sebagai Ari, 30, berkata program berkenaan membantunya melupakan kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah yang menyebabkan dipenjarakan pada 2024.

“Saya kini bekerja di sebuah kilang tanah liat di Ayer Hitam, Batu Pahat (Johor). Selepas tiga bulan bekerja, saya mampu menghasilkan pelbagai produk berasaskan tanah liat seperti pasu, tembikar, barangan hiasan dan paip,” katanya yang dijangka dibebaskan dalam tempoh dua tahun lagi.

PRPI yang dilaksanakan di PRP Kluang melibatkan 480 penghuni dengan 200 daripadanya bekerja dalam sektor industri termasuk di kilang dan syarikat perkhidmatan kurier, manakala bakinya dalam sektor pertanian, kulinari serta penyelenggaraan alat penyaman udara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan