AM > BERITA

Penyelarasan BUDI95 Pragmatik, Kekal Keyakinan Rakyat - Penganalisis

28/03/2026 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Penyelarasan sementara Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) tidak wajar ditafsirkan secara negatif, sebaliknya dilihat sebagai langkah pragmatik kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di tengah tekanan ekonomi global.

Langkah itu hanya melibatkan penyelarasan had subsidi daripada 300 kepada 200 liter sebulan, tanpa menjejaskan harga RON95 yang kekal pada RM1.99 seliter. Pendekatan berkenaan mencerminkan usaha kerajaan menyeimbangkan keperluan fiskal dengan kepentingan rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata keputusan yang berkuat kuasa 1 April ini menunjukkan pendekatan bersasar yang lebih tepat, tanpa menjejaskan majoriti pengguna.

Beliau berkata purata penggunaan petrol rakyat adalah sekitar 100 liter sebulan, sekali gus bermakna sebahagian besar pengguna tidak terkesan dengan penyelarasan itu.

“Penyelarasan ini boleh dilihat sebagai tempoh penyesuaian untuk memastikan subsidi lebih tepat sasaran. Penerimaan rakyat pula bergantung kepada penjelasan telus bahawa ia bukan penarikan manfaat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keberkesanan langkah itu bergantung kepada kejelasan komunikasi serta konsistensi dasar dalam tempoh sederhana.

Dalam jangka pendek, katanya langkah berkenaan membantu mengekalkan keyakinan rakyat kerana mencerminkan kepekaan kerajaan. Namun, dalam jangka sederhana, keyakinan itu bergantung kepada hala tuju subsidi yang jelas serta bukti kesannya terhadap kos sara hidup.

Beliau turut menekankan usaha kerajaan meredakan tekanan kos hidup di Sabah dan Sarawak melalui pengekalan harga diesel di kedua-dua negeri.

Langkah berkenaan penting memandangkan penggunaan diesel yang tinggi dalam sektor pengangkutan dan logistik di wilayah tersebut.

“Pengekalan harga bahan api asas membantu menstabilkan jangkaan kos sara hidup, terutama di kawasan yang bergantung kepada diesel,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan subsidi bersasar itu dibuat selepas kerajaan meneliti purata penggunaan BUDI95 sekitar 100 liter sebulan.

Dalam perutusan khas itu, beliau berkata hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, sekali gus tidak terjejas dengan pelaksanaan langkah berkenaan.

Pada masa sama, beliau mengumumkan Sabah dan Sarawak terus menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (UM), Prof Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah berkata pengekalan harga RON95 penting dalam mengawal inflasi serta mengurangkan tekanan terhadap pengguna.

Beliau berkata langkah itu memberi kelegaan kepada rakyat ketika negara perlu mengimport minyak bagi memenuhi keperluan domestik.

“Apabila harga minyak dunia meningkat, beban subsidi kerajaan turut bertambah. Namun, pengekalan harga membantu mengelakkan kenaikan kos kepada rakyat,” katanya.

Rajah berkata subsidi bahan api memberi kesan meluas kepada ekonomi kerana kos tenaga mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bantuan berkenaan wajar diteruskan secara bersasar bagi mengurangkan jurang pendapatan serta melindungi golongan berpendapatan rendah, tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan keperluan memperkukuh pembangunan tenaga alternatif susulan ketidaktentuan bekalan minyak global, termasuk risiko gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz.

Katanya, peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang ketika ini masih rendah penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil dalam jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan