KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek para wanita negara Nur Suraiya Muhamad Zamri mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas dalam acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Velodrom Tagaytay City, Filipina, hari ini.
Nur Suraiya yang beraksi dalam kategori wanita B (kecacatan penglihatan) mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan pencabar dari Kazakhstan Kalaus Anastassiya 2-0 pada aksi final.
Pingat gangsa diraih rakan senegara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais yang menewaskan seorang lagi pencabar Kazakhstan Zhantore Moldir 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Berbeza nasib bagi kategori lelaki B apabila Mohd Khairul Hazwan Wahab terlepas peluang untuk menggondol pingat emas selepas tewas kepada pelumba Jepun Kimura Kazuhei 2-1 pada aksi final dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Pingat gangsa menjadi milik pelumba Indonesia Nur Fendi yang menewaskan pencabar Kazakhstan Seitzhan Kenzhegul 2-0.
Seorang lagi pelumba wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir sekadar menduduki tempat ketujuh dalam acara perlumbaan mata wanita elit selepas mengutip 15 mata, manakala pingat emas, perak dan gangsa masing-masing disambar atlet Uzbekistan, Kozieva Nafosat (35 mata), Leung Wing Yee dari Hong Kong (34 mata) dan atlet Singapura Elizabeth Le Min Liau (31 mata).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial