Oleh Chandravathani Sathasivam
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Peningkatan keperluan pematuhan serta risiko tenaga kerja yang semakin kompleks mendorong organisasi mengamalkan pengambilan pekerja yang lebih ketat, dengan saringan latar belakang muncul sebagai langkah perlindungan penting merentasi pelbagai industri.
Seiring perubahan ini, Venovox Sdn Bhd, pakar dalam saringan latar belakang, melancarkan Indeks Risiko Saringan Latar Belakang Kebangsaan (NBSRI) 2025 iaitu penanda aras merentas industri untuk memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai integriti tenaga kerja dan risiko berkaitan pengambilan pekerja.
Dalam usaha mendapatkan bakat terbaik, langkah yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan organisasi itu penting bagi melindungi reputasi syarikat, mengelakkan kerugian kewangan serta mengurangkan risiko, termasuk dalam penilaian bakal penyewa hartanah.
Sebagai inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia, indeks itu akan menganalisis corak saringan, ketidakpadanan pengesahan serta petunjuk risiko utama merentasi lebih 20 sektor, sekali gus menyediakan gambaran berasaskan data yang lebih jelas mengenai trend pengambilan pekerja kepada majikan, pengamal sumber manusia dan penggubal dasar.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Venovox Sharmila Gunasekaran berkata inisiatif itu mencerminkan perubahan asas dalam amalan pengambilan pekerja apabila kepercayaan kini harus disokong dengan pengesahan.
“Integriti tenaga kerja telah menjadi tunjang kepada operasi perniagaan moden. Dalam ekosistem tenaga kerja masa kini, kepercayaan tidak lagi boleh dianggap wujud secara automatik, ia perlu dibuktikan.
“Organisasi semakin menyedari bahawa protokol saringan yang kukuh adalah penting untuk melindungi tenaga kerja, menjaga reputasi serta memastikan kemampanan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata saringan latar belakang yang sebelum ini banyak tertumpu kepada institusi kewangan dan entiti berkaitan kerajaan kini semakin meluas ke pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, logistik, pembuatan, peruncitan dan teknologi.
Sharmila menegaskan bahawa kelemahan dalam proses pengambilan pekerja boleh membawa implikasi serius, daripada risiko keselamatan dan pelanggaran peraturan hingga kerugian kewangan serta kerosakan reputasi.
“Sebagai contoh, penyedia perkhidmatan kesihatan perlu mengesahkan kelayakan profesional secara teliti bagi menjamin keselamatan pesakit, manakala institusi pendidikan perlu menjalankan semakan menyeluruh terhadap individu yang bekerja dengan kanak-kanak.
“Institusi kewangan pula lazimnya melaksanakan saringan sekatan, semakan pencegahan pengubahan wang haram serta penilaian individu berprofil politik (PEP) bagi memenuhi keperluan pematuhan yang ketat,” katanya.
Menurut Sharmila kerumitan operasi perniagaan yang semakin meningkat turut telah meluaskan skop saringan melangkaui pengambilan pekerja tradisional.
Organisasi kini semakin giat menjalankan usaha wajar terhadap rakan niaga, vendor dan pelanggan, termasuk penilaian Kenali Pelanggan Anda (KYC) dan Kenali Perniagaan Anda (KYB) bagi memahami struktur pemilikan, pendedahan peraturan serta potensi risiko reputasi sebelum menjalin kerjasama.
Saringan penyewa juga semakin menjadi keutamaan apabila pemilik dan pengurus hartanah berusaha menilai kebolehpercayaan bakal penyewa di tengah peningkatan risiko kewangan dan perundangan.
“Seiring saringan latar belakang semakin menjadi amalan utama dalam pengambilan pekerja moden, inisiatif seperti NBSRI dijangka meningkatkan kesedaran terhadap pengambilan pekerja yang bertanggungjawab serta memperkukuh akauntabiliti organisasi,” kata beliau.
Dengan penekanan yang semakin meningkat terhadap integriti dan pematuhan, Venovox terus mengukuhkan peranannya sebagai rakan dipercayai dalam membina ekosistem perniagaan yang selamat dan berdaya tahan, selain membantu organisasi membentuk tenaga kerja yang diyakini serta kerjasama yang mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial