AM > BERITA

Penjara Maksimum, Sebatan Perlu Dipertimbang Tangani Kes Pemandu Mabuk - Exco

30/03/2026 12:40 PM

SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Tindakan lebih tegas termasuk hukuman penjara maksimum dan sebatan perlu dipertimbangkan bagi menangani kes pamanduan di bawah pengaruh alkohol serta dadah yang semakin membimbangkan.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V Papparaidu berkata pendekatan sedia ada dilihat masih belum mencukupi untuk memberikan pengajaran kepada pelaku, susulan insiden terkini yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.

“Saya menggesa agar tindakan undang-undang yang tegas dan setimpal dikenakan terhadap pelaku…ini bukan lagi kes terpencil kerana terlalu banyak tragedi seumpamanya telah berlaku.

“Sudah tiba masanya pendekatan lebih tegas dilaksanakan melalui penguatkuasaan lebih ketat dan berat agar menjadi pengajaran kepada masyarakat di samping memastikan bantuan sewajarnya disalurkan segera kepada keluarga mangsa, lebih-lebih lagi apabila yang terkorban merupakan ketua keluarga, demi menegakkan keadilan dan mengelakkan tragedi sebegini terus berulang.

“Nyawa rakyat tidak seharusnya menjadi taruhan kepada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak. Jalan raya mesti selamat untuk semua…cukup-cukuplah tragedi seperti ini berulang! Tindakan tegas mesti menjadi keutamaan demi keselamatan semua!,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey memaklumkan seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat. 

Beliau berkata insiden kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa seorang lelaki berusia 30-an, tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pagi ini, Mahkamah Majistret Klang membenarkan suspek berusia 20-an itu direman empat hari hingga Khamis, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Papparaidu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan itu.

“Saya menzahirkan rasa amat dukacita dan simpati mendalam terhadap kejadian kemalangan tragis di Jalan Raya Barat, Klang yang telah meragut nyawa seorang penunggang motosikal yang tidak bersalah juga seorang ayah kepada dua orang anak kecil.

“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah adalah perbuatan sangat berbahaya. Lebih menyedihkan apabila kecuaian sebegini meragut nyawa individu yang langsung tidak bersalah,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan