AM > BERITA

Kerjasama Erat Kerajaan Negeri, Rakyat Dorong Pembangunan Inklusif Sabah - Tun Musa

30/03/2026 02:31 PM

KOTA KINABALU, 30 Mac (Bernama) -- Kestabilan dan kemajuan dinikmati Sabah pada hari ini adalah hasil kesepakatan serta komitmen bersama antara kerajaan negeri dan rakyat bagi memperkukuh ekonomi sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosial meskipun berdepan pelbagai cabaran mahupun perubahan.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata kerjasama erat antara kedua-duanya membolehkan Sabah terus melangkah ke hadapan termasuk dalam usaha memastikan pembangunan lebih inklusif dan seimbang khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata Sabah memperlihatkan perkembangan memberangsangkan dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi negeri melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber.

"Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan mampan," katanya dalam Perutusan Khas Sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang Dipertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Tun Musa menyampaikan perutusan khas itu pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah yang menyaksikan 90 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat masing-masing.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan pemimpin kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Tun Musa juga mahu kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur asas meliputi pembinaan dan menaik taraf jalan raya, sistem bekalan air bersih serta kemudahan bekalan elektrik yang stabil.

Beliau berkata usaha itu amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar. 

Katanya, pembangunan prasarana terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri secara menyeluruh bagi memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus kemajuan.

Tun Musa berkata aspek pendidikan dan pembangunan modal insan juga harus diberi keutamaan bagi melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini, selain meningkatkan kemudahan perubatan berkualiti dan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh agar setiap rakyat mendapat rawatan cepat, selamat serta berkesan.

Sementara itu, beliau berpuas hati mengenai transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam yang sedang giat dilaksanakan sekali gus menyifatkan inisiatif pendigitalan sistem dan proses kerja mampu memperkasa kecekapan, ketelusan dan kemudahan akses kepada rakyat.

"Keperluan untuk memperkukuh integriti dalam perkhidmatan awam hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha membina sebuah pentadbiran yang dihormati dan diyakini rakyat," katanya.

Beliau berkata akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri juga amat penting bagi memastikan setiap peruntukan dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya setiap keputusan perbelanjaan hendaklah dibuat secara teliti, berpandukan prinsip tadbir urus baik serta mengambil kira keberkesanan dan impak jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan