AM > BERITA

Prospek Ekonomi Sabah Diyakini Berkembang Positif Disokong Pelan SMJ 2.0 - Hajiji

30/03/2026 11:20 PM

KOTA KINABALU, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri yakin bahawa ekonomi Sabah akan terus berkembang secara positif meskipun berdepan tekanan ketidaktentuan ekonomi dunia susulan konflik di Asia Barat dan Eropah Timur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai teras agenda pembangunan negeri berkenaan untuk tempoh lima tahun akan datang, yang dilancarkan pada 30 Jan lepas. 

“Hala tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 yang bermula pada tahun ini hingga 2030," katanya. 

Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Darjah Kebesaran dan Bintang serta Pingat Negeri Sabah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah juga mula meneroka potensi Ekonomi Biru merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari luar bandar sebagai pemacu ekonomi strategik utama di bawah SMJ 2.0.

Hajiji berkata inisiatif itu turut melibatkan perlindungan pesisir pantai, pokok bakau dan terumbu karang serta pembangunan karbon biru ke arah pertumbuhan ekonomi bernilai tambah yang lebih tinggi.

“Penerokaan Ekonomi Biru ini terutama dalam sektor perikanan dan akuakultur dijangka mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun,” katanya.

Beliau juga berkata kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan berjalan secara teratur, cekap serta berkesan.

“Projek pembangunan khususnya yang menjadi keutamaan meliputi pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan perlu dipantau lebih rapi agar berjalan lancar serta dilaksana seperti dijadualkan,” katanya.

Mengulas mengenai bekalan minyak dunia yang terjejas akibat konflik geopolitik di Asia Barat dan kesannya yang turut dirasai di Malaysia, Hajiji menasihati rakyat agar lebih berhemat khususnya dalam berbelanja dan penggunaan kenderaan harian.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar turut berhemat dalam penggunaan air berikutan cuaca panas berterusan dan peningkatan suhu yang menunjukkan tanda-tanda fenomena El Nino serta berpotensi menyebabkan kemarau panjang.

“Untuk itu, elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka dan kurangkan aktiviti luar terutama ketika suhu mencapai tahap panas luar biasa,” katanya.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Hajiji turut mengajak seluruh kepimpinan negeri dan sektor swasta untuk bersama-sama memperkukuh azam serta iltizam dalam memacu kemajuan Negeri di Bawah Bayu.

“Saya ingin mengajak seluruh kepimpinan negeri untuk kita terus mencurahkan khidmat bakti demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan