AM > BERITA

Konflik Asia Barat: KKR Laksana Penilaian Impak Kenaikan Kos Bahan Binaan

30/03/2026 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti mekanisme mitigasi bersesuaian susulan kenaikan kos pembinaan akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penilaian itu melibatkan kerjasama dengan agensi berkaitan serta pihak industri merangkumi aspek pelaksanaan projek, struktur kos dan daya tahan rantaian bekalan sektor pembinaan.

Beliau berkata kerajaan memandang serius implikasi kenaikan kos itu terutama kesan penutupan Selat Hormuz yang menjejaskan kestabilan rantaian bekalan tenaga global.

“Kenaikan kos ini perlu ditangani dalam kerangka yang menyeluruh memandangkan sektor pembinaan mempunyai kebergantungan yang signifikan terhadap harga bahan api seperti petrol dan diesel di samping kos logistik serta bahan binaan yang berkait rapat dengan pasaran antarabangsa.

“Memandangkan punca utama adalah faktor geopolitik global di luar kawalan domestik, kesan tekanan kos ini turut dialami oleh kebanyakan negara. Sehubungan itu, pendekatan yang diambil perlu bersifat strategik, bersasar dan berasaskan data,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta juga berkata pada masa sama, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan memperkukuh peranan sebagai penyelaras industri dengan menggerakkan kerjasama bersama agensi dan pemain industri bagi merangka cadangan dasar serta langkah intervensi yang pragmatik dan berimpak tinggi.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk memastikan kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan negara dan mengekalkan kestabilan sektor pembinaan melalui pendekatan dasar yang responsif, adaptif serta berorientasikan kelestarian jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan