KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Barisan kepimpinan negara merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang menerima keputusan di seluruh negara hari ini.
Antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan timbalannya Adam Adli Abdul Halim menerusi hantaran di Facebook rasmi masing-masing.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengucapkan tahniah kepada semua pelajar serta ibu bapa, dan menyifatkan tiada istilah kegagalan dalam menempuh fasa pendidikan.
"Kepada semua pelajar, ibu bapa, tiada istilah kegagalan, teruslah mencapai kecemerlangan, dalam akademik mahupun kemahiran, tahniah atas usaha gigih dan dedikasi anda semua!
"Ini adalah detik pemula, untuk melangkah lebih jauh dalam satu perjalanan pendidikan anak-anak semua. Bagi yang belum mencapai keputusan diharapkan, teruskan perjuangan. Setiap usaha adalah langkah menuju kejayaan. Teruskan berusaha dengan tekad yang lebih kuat," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan selain mendoakan kesejahteraan buat semua guru yang sentiasa komited, sabar dan berdedikasi serta berkorban dalam membimbing anak bangsa ke arah kecemerlangan.
Zambry pula memberi jaminan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan akses pendidikan terus terbuka luas, tanpa mengira latar belakang bagi semua lepasan sekolah.
Beliau memaklumkan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) kini dibuka untuk membolehkan pelajar menyambung pengajian dalam pelbagai bidang sama ada di Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik mahupun Kolej Komuniti.
"Kepada yang berjaya, teruskan melangkah dengan tekad dan jangan cepat berpuas hati. Ini hanyalah permulaan kepada perjalanan lebih besar.
“Bagi yang kurang mencapai sasaran, jangan berputus asa. Kejayaan tidak ditentukan oleh satu keputusan, tetapi usaha berterusan, disiplin dan keazaman," katanya.
Adam Adli menyifatkan keputusan di tangan semua calon hari ini sebagai satu permulaan baharu untuk meneroka peluang yang lebih luas.
"Yang sampai ke tangan anda hari ini adalah permulaan baharu, untuk perjalanan lebih jauh. Teruskan melangkah, teroka peluang, dan cekal dalam setiap yang bakal diusahakan!" katanya menerusi satu hantaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial