AM > BERITA

JAS Serbu Premis Kitar Semula Plastik Haram Di Sungai Petani

31/03/2026 01:38 PM

SUNGAI PETANI, 31 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menyerbu sebuah premis menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik secara haram di kawasan Perusahaan Taman Ria Jaya di sini, semalam.

Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata operasi dari 8.30 pagi hingga 1 tengah hari itu hasil pemantauan berterusan pihak penguat kuasa terhadap aktiviti industri yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati premis yang menjalankan aktiviti pembersihan dan penyemperitan sisa plastik bagi menghasilkan pelet plastik itu beroperasi tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) seperti diperuntukkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Premis itu dipercayai beroperasi secara tertutup sepenuhnya bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata JAS mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) akta berkenaan terhadap seunit mesin penyemperit plastik serta sistem kawalan pencemaran udara dan sistem pengolahan efluen industri digunakan di premis itu tanpa kebenaran JAS.

Siasatan lanjut di premis itu turut menemukan sejumlah besar bahan mentah dan produk siap termasuk 700 jumbo bag atau kira-kira 350 tan metrik sisa plastik dipercayai digunakan sebagai bahan mentah dalam proses pembuatan.

Selain itu, pegawai penguat kuasa turut menemukan kira-kira 258 tan metrik produk siap iaitu pelet plastik yang dibungkus dalam 10,320 guni dengan anggaran berat 25 kilogram setiap satu.

“JAS turut mengambil sampel sisa plastik serta pelet plastik dari premis itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis makmal,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal tanpa kelulusan EIA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan