AM > BERITA

Cuaca Panas: Langkah Susulan Libatkan Sesi Persekolahan Diteliti Secara Bersepadu

31/03/2026 02:02 PM

KAJANG, 31 Mac (Bernama) -- Sebarang keputusan melibatkan sesi persekolahan termasuk kemungkinan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan fenomena cuaca panas di negara ini, akan dibuat secara bersepadu dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan meneliti langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani kesan cuaca panas melampau, dengan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah.

“Saya ambil pendekatan bahawa setiap perancangan itu kita akan tindak susul bersama dengan KKM dan juga bersama dengan agensi berkaitan supaya perancangan itu lebih teratur dan baik serta tidak menjejaskan pelajaran anak-anak sebab keutamaan kita adalah pembelajaran anak-anak dan juga kesihatan warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang di sini hari ini.

Fadhlina berkata antara cadangan yang turut dipertimbangkan termasuk penyediaan kawasan berbumbung bagi membolehkan aktiviti sekolah dijalankan dalam keadaan lebih selamat.

Beliau turut tidak menolak cadangan berkaitan penggunaan penyaman udara di sekolah.

“Itu semua cadangan yang baik dan sebenarnya kalau kaedah berbumbung ini di sekolah-sekolah memang kita sentiasa tambah baik. Jadi insya-Allah cadangan itu kita akan pertimbangkan di peringkat kementerian,” katanya.

Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan turut mengumumkan bahawa pentadbir dibenarkan menutup sementara sekolah sekiranya cuaca panas mencapai tahap amaran dua, dengan suhu mencecah lebih 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia mentakrifkan gelombang haba sebagai suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, dengan amaran Tahap 1 dikeluarkan pada 35 hingga 37 darjah Celsius, Tahap 2 pada 37 hingga 40 darjah Celsius dan Tahap 3 apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius bagi tempoh sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan