AM > BERITA

APM Melaka Rekod Peningkatan Kes Tangkapan Haiwan Berbisa

31/03/2026 04:43 PM

MELAKA, 31 Mac (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka merekodkan peningkatan tangkapan haiwan berbisa terutama ular kepada 1,800 kes bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding 1,600 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata keadaan itu berpunca daripada cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini yang menyaksikan haiwan berbisa terutama ular akan keluar daripada habitatnya dan mencari tempat lebih teduh serta sejuk untuk dihuni.

"Antara kawasan yang digemari haiwan berbisa ini seperti longgokan kayu terbiar dan rumah, justeru saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan kerja-kerja pembersihan dengan mengutamakan keselamatan diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Himpunan Setia dan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-74 APM Melaka di sini hari ini.

Sebanyak 70 pegawai dan anggota APM Melaka serta orang awam menerima Sijil Penghargaan Bulanan dan Pingat Pertahanan Awam pada majlis berkenaan.

Mengulas mengenai Op Prihatin dari 19 hingga 29 Mac sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Kamarulsyah berkata pihaknya merekodkan kira-kia 100 kes sepanjang 10 hari ia berlangsung.

Beliau berkata sebanyak 100 pegawai dan anggota bertugas dari 8 pagi hingga 12 tengah malam bagi membantu pengguna jalan raya yang menghadapi masalah dengan kenderaan mereka pada operasi berkenaan.

Katanya sebanyak 15 aset APM Melaka terbabit pada Op Prihatin kali ini dengan tumpuan rondaan di jalan Persekutuan, negeri dan bandaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan