AM > BERITA

Kemarau: Sungai Golok Jadi Sumber Bekalan Air Penduduk

31/03/2026 06:54 PM

TANAH MERAH, 31 Mac (Bernama) -- Situasi kemarau berpanjangan sejak beberapa bulan lepas telah menyebabkan penduduk di kawasan sempadan Malaysia–Thailand, termasuk Kampung Air Batu di sini terpaksa menjadikan Sungai Golok sebagai sumber air harian mereka.

Malah, paras air di Sungai Golok yang menyusut juga memudahkan lagi penduduk termasuk dari negara jiran mengambil bekalan itu untuk kegunaan isi rumah mereka buat masa ini.

Penduduk, Tengku Ab Rahman Tengku Abdullah, 46, berkata dia kini menggunakan sungai berkenaan untuk melakukan pelbagai rutin harian termasuk mengambil wuduk berikutan kekurangan bekalan air di rumah.

"Rumah saya berdekatan dengan Sungai Golok dan apabila sumber air di rumah bermasalah, maka Sungai Golok ialah jalan penyelesaian buat masa sekarang.

"Saya tidak pernah melihat paras air di Sungai Golok surut hingga paras lutut dan kini menjadi tumpuan penduduk berdekatan untuk melihat fenomena itu," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Bagi Mohd Imran Mohd Nor, 36, pula dia akan ke sungai tersebut bersama-sama adiknya setiap petang kerana telaga di rumah mereka telah kering akibat kemarau.

"Kami mengangkut air dari sungai untuk kegunaan lain, bukan untuk diminum. Air minuman kami beli di kedai berdekatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Fakrul Ridzwan, 30, berkata masalah kekurangan air sudah lama berlarutan sejak sebelum Ramadan lagi dan semua kerja membasuh pakaian kini dilakukan di sungai kerana telaga di rumahnya juga semakin kering.

"Bekalan air memang sudah lama tiada, telaga tiub di rumah saya juga kini tidak lagi mengeluarkan air dipercayai sudah kering atau perlu didalamkan lagi. Untuk mengelak masalah tersebut, saya bergantung pada sungai berdekatan," katanya yang menetap kira-kira 300 meter dari sungai berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati, paras air Sungai Golok yang menyusut turut menarik perhatian penduduk kampung dari negara jiran untuk turut serta menggunakan sungai tersebut sebagai sumber bekalan air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan