PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Sektor perkhidmatan air dan pembetungan Malaysia meraih pengiktirafan antarabangsa apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) disenaraikan sebagai finalis dalam Anugerah Air Global 2026.
SPAN memaklumkan anugerah berkenaan, anjuran Global Water Intelligence, mengiktiraf organisasi dan inisiatif yang memberikan sumbangan signifikan dalam memajukan sektor air, air sisa dan penyahgaraman di peringkat global.
SPAN disenarai pendek bagi kategori Agensi Air Awam Terbaik, yang mengiktiraf badan kerajaan dan agensi awam yang memberi impak terbesar terhadap penyediaan perkhidmatan air dan air sisa serta pengurusan utiliti sepanjang tahun lepas.
Pencalonan itu mencerminkan peranan SPAN sebagai pengawal selia nasional bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan di Malaysia, termasuk usaha memperkukuh standard perkhidmatan, kemampuan bayaran, daya tahan serta kelestarian jangka panjang sektor itu.
“SPAN memainkan peranan penting dari segi kawal selia dalam pelarasan tarif air dan pembetungan di Malaysia, selain terus menyokong pembaharuan infrastruktur, penambahbaikan perkhidmatan serta pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW),” menurut kenyataan itu.
SPAN turut memperkenalkan syarat lebih ketat kepada pusat data, termasuk menggalakkan penggunaan sumber air alternatif berbanding air terawat, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh daya tahan serta kesiapsiagaan sektor itu pada masa depan.
Sementara itu, IWK telah disenaraikan finalis bagi kategori Pemenang Matlamat Pembangunan Mampan 6 (SDG 6) Terbaik menerusi inisiatif sanitasi yang menggabungkan tenaga boleh diperbaharu, inovasi kewangan serta ketahanan operasi.
Menurut kenyataan itu, penyedia perkhidmatan pembetungan nasional yang merangkumi populasi bersamaan lebih 32 juta orang telah melaksanakan inisiatif tenaga solar di lebih 100 loji rawatan kumbahan, menggunakan model pembiayaan swasta berasaskan jaminan prestasi, tanpa memerlukan kos modal awam awal, bagi projek fotovoltan solar.
“Program ini mengurangkan kebergantungan kepada grid elektrik, meningkatkan kecekapan kos, mengurangkan pelepasan karbon dan menunjukkan bagaimana infrastruktur sanitasi boleh memainkan peranan lebih aktif dalam ekonomi kitaran.
“Lebih penting, ia meletakkan rawatan air sisa bukan sahaja sebagai fungsi perkhidmatan awam tetapi sebagai platform operasi utiliti yang lebih pintar, mesra alam dan lestari,” katanya.
Menurut SPAN, pengiktirafan berganda itu mencerminkan kemajuan Malaysia menuju Transformasi Sektor Air 2040 atau AIR2040 serta menonjolkan usaha berterusan dalam memperkukuh keselamatan air, kualiti perkhidmatan dan pembangunan jangka panjang sektoir berkenaan.
Pemenang akan diumumkan pada Sidang Kemuncak Air Global 2026 di Madrid, Sepanyol pada 19 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial