KOTA BHARU, 1 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Jabatan Sumber Asli dan Kelestarian, Fakulti Sains Bumi (FSB) merancang untuk melangkah lebih jauh sebagai Pusat Kajian Saintifik dalam Meteorologi dan Sains Iklim dengan penggunaan teknologi Stesen Pengawasan Udara (AQM-09).
Pensyarah Kanan di jabatan berkenaan Prof Madya Dr Norrimi Rosaida Awang berkata pemasangan peranti berteknologi tinggi itu membolehkan pengesanan perubahan kualiti udara dan pemantauan pencemaran alam sekitar secara berterusan dengan bacaan yang tepat, bukan sahaja untuk tujuan kajian saintifik malah bagi makluman keadaan atmosfera semasa.
Beliau berkata sistem itu berperanan memantau kualiti udara secara menyeluruh dengan menilai kehadiran pelbagai gas pencemar di udara.
Norrimi Rosaida berkata ia merangkumi gas seperti karbon monoksida, ozon paras tanah, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida, selain sebatian organik meruap serta karbon dioksida.
"Pemantauan ini turut merangkumi zarah terampai di udara termasuk jumlah habuk terampai, partikel halus PM2.5 dan PM10 yang boleh memberi kesan langsung kepada kesihatan.
"Sistem AQM-09 itu juga merekodkan parameter meteorologi penting seperti sinaran ultraungu, suhu, kelembapan udara, kelajuan dan arah angin, tekanan udara, taburan hujan, serta tahap bunyi persekitaran bagi memberikan gambaran yang komprehensif tentang keadaan cuaca di sesuatu kawasan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sistem yang bernilai RM85,000 ini diperoleh melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan 4 (RP4) dan telah dipasang sepenuhnya pada 21 Jan 2025.
Norrimi Rosaida berkata fasiliti itu kini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai instrumen pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar program Sarjana Muda Sains Gunaan (Analitik Alam Sekitar), Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Kelestarian Alam Sekitar), serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Sumber Asli).
Mengulas lanjut, beliau berkata sejak mula beroperasi, sistem itu telah merekod dan menganalisis data kualiti udara serta parameter meteorologi secara masa nyata.
"Data berharga yang dikumpulkan ini menyokong analisis corak harian dan bermusim, selain membolehkan perbandingan dengan rekod sedia ada bagi menilai trend perubahan persekitaran setempat.
"Inisiatif ini dilihat amat membantu dalam memudah cara pemahaman terhadap isu kualiti udara dan berpotensi diangkat menjadi pusat rujukan alternatif kepada masyarakat," katanya.
Melaluinya, orang awam boleh mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini, khususnya berkaitan bacaan pencemaran udara, suhu, dan keadaan atmosfera semasa di Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial