AM > BERITA

KPDN: Bekalan Bahan Api Stabil, Pemantauan Dipertingkat Di Sabah, Sarawak Dan Labuan

01/04/2026 03:15 PM

BAU, 1 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan bekalan bahan api mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat melalui sistem pemantauan harian yang berkesan di seluruh negara, dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ketua Pengarahnya Datuk Azman Adam berkata setakat ini tiada isu kekurangan bekalan bahan api itu walaupun terdapat peningkatan permintaan di beberapa stesen minyak susulan musim perayaan baru-baru ini.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana walaupun terdapat peningkatan permintaan, ia adalah terkawal dengan pemantauan turut dijalankan setiap hari bagi memastikan sebarang isu dapat dikesan dan ditangani segera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Beliau berkata penguatkuasaan di Sabah, Sarawak dan Labuan perlu sebagai usaha memperkukuh kawalan bekalan bahan api terutamanya diesel bagi memastikan kesinambungan bekalan, tiada gangguan dan tiada penyelewengan berlaku dalam pasaran.

"Permintaan bahan api meningkat dengan mendadak susulan situasi di Asia Barat, sekali gus memberi tekanan kepada bekalan sedia ada.

"Jika ketirisan tidak dibendung, ia boleh menyebabkan diesel dan petrol diseludup keluar serta disalahgunakan oleh pihak atau industri yang tidak layak," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah stesen minyak di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin. 

Kerajaan sebelum ini mengumumkan harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak, dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, namun had pengisian harian dikuatkuasakan mulai hari ini bagi membendung ketirisan. 

Had tersebut berbeza mengikut kategori kenderaan iaitu 50 liter, 100 liter atau 150 liter bagi memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasaran.

"Had minimum pengisian ditetapkan sebanyak 50 liter sahaja, dan sekiranya pengguna memerlukan jumlah lebih besarcontohnya bagi kenderaan bertangki besar seperti lori mereka perlu membuat pembayaran di kaunter, di mana jumlah pengisian boleh diselaraskan sehingga 150 liter," katanya. 

Beliau berkata pemantauan akan dilaksanakan terhadap 283 stesen minyak  di Sarawak, 266 di Sabah dan tujuh di Labuan, dengan kerjasama agensi lain termasuk polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam  Diraja Malaysia menerusi Operasi Tiris 4.0. 

Katanya, pihak KPDN akan mula menempatkan pegawai secara statik di stesen minyak yang mencatatkan peningkatan jualan luar biasa, selain menugaskan pegawai tidak beruniform bagi tujuan risikan untuk mendapatkan maklumat sebenar operasi di lokasi tersebut.

Sementara itu, Azman meminta orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang kes mencurigakan berkaitan penyelewengan bahan api, dan tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam sekiranya laporan diterima lengkap.

“Sekiranya terlihat kenderaan asing mengisi RON95 dalam kuantiti besar atau menggunakan tong, jangan ambil tindakan sendiri dan jangan tularkan. Lapor terus kepada pihak KPDN kerana sebarang penyebaran boleh menjejaskan bukti dan kejayaan siasatan kami,” katanya. 

Kerajaan sebelum ini mengumumkan beberapa langkah penguatkuasaan baharu bermula hari ini bagi membendung ketirisan subsidi bahan api termasuk larangan penjualan dan pembelian RON95 oleh kenderaan asing, tidak membenarkan penggunaan kad kredit dan debit antarabangsa di terminal pam layan diri dan pembayaran hanya dibenarkan di kaunter bagi mengawal pembelian oleh warga asing.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan