AM > BERITA

Krisis Selat Hormuz: Peluang Percepat Reformasi Tenaga, Bukan Alasan Panik 

01/04/2026 10:26 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Penutupan Selat Hormuz susulan konflik Amerika Syarikat dan Iran perlu dilihat sebagai ujian terhadap ketahanan sistem tenaga negara serta peluang mempercepat reformasi sektor tenaga, bukannya alasan untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat. 

Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Norasikin Ahmad Ludin berkata situasi semasa menunjukkan bahawa keselamatan tenaga bukan lagi sekadar isu harga bahan api, sebaliknya melibatkan keupayaan negara memastikan ketersediaan bekalan secara berterusan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.

"Kemampuan membeli tanpa jaminan bekalan akan mengakibatkan pasaran gelap, gangguan perkhidmatan awam dan yang paling membimbangkan ialah krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berpendapat strategi keselamatan tenaga negara perlu dilaksanakan secara berfasa meliputi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memperkukuh daya tahan sistem tenaga nasional.

Norasikin berkata dalam tempoh jangka pendek, kerajaan perlu menumpukan kepada langkah menstabilkan sistem tenaga domestik, termasuk melanjutkan operasi loji arang batu berkecekapan tinggi sebagai sumber sandaran serta mengoptimumkan penggunaan teknologi untuk meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.

Beliau berkata pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor logistik dan Sistem Trafik Pintar (ITS) boleh membantu mengurangkan pembaziran bahan api serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, manakala strategi kewangan seperti lindung nilai bagi import minyak dan gas asli cecair (LNG) penting bagi mengelakkan kejutan harga yang boleh menjejaskan fiskal negara.

Dalam jangka sederhana, Norasikin berkata Malaysia perlu mempercepat pembangunan sumber tenaga tempatan dan memperluas integrasi tenaga serantau bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api.

Antara langkah utama yang dicadangkan termasuk memperluas rangkaian Grid ASEAN, meningkatkan penggunaan biodiesel B30 dan B40, serta mempelbagaikan sumber import gas asli cecair dari negara alternatif seperti Australia dan Papua New Guinea bagi memperkukuh keselamatan bekalan tenaga.

Mengulas mengenai perancangan jangka panjang, beliau berkata pembangunan teknologi tenaga baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMR), hidrogen hijau dan industri bateri kenderaan elektrik akan menjadi komponen penting dalam memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil dan mampan, selain reformasi pasaran elektrik kepada sistem kadar kos sebenar bagi menarik pelaburan dalam tenaga boleh baharu.

Beliau turut menegaskan bahawa komunikasi awam yang jelas dan konsisten adalah elemen penting dalam pengurusan krisis tenaga bagi memastikan keyakinan rakyat kekal terpelihara. Pada masa yang sama, kerajaan perlu menyediakan pelan kontingensi pengagihan bahan api berasaskan keutamaan sekiranya berlaku gangguan bekalan.

"Dalam menghadapi cabaran ini, ketenangan, disiplin dan perpaduan adalah penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan. Komunikasi yang jelas dan telus kepada rakyat adalah kunci untuk mengelakkan panik dan pembelian tergesa-gesa yang akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi berkata landskap geopolitik global yang semakin kompleks menuntut Malaysia mengubah pendekatan dasar luar daripada keberkecualian pasif kepada keberkecualian aktif, iaitu pendekatan yang menekankan diplomasi proaktif bagi memastikan kepentingan perdagangan dan keselamatan tenaga negara terus terpelihara.

"Keberkecualian aktif bermaksud Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih strategik dalam diplomasi antarabangsa, termasuk memperkukuh hubungan dengan pelbagai rakan dagang dan kuasa serantau tanpa bergantung kepada satu blok kuasa semata-mata,” katanya.

Beliau berkata ketegangan di Selat Hormuz juga wajar dijadikan peluang untuk menilai semula struktur rantaian bekalan tenaga negara dan mempercepat usaha membina kemandirian tenaga domestik dalam jangka panjang.

Beliau menegaskan antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah memperluas kapasiti penapisan domestik, membangunkan simpanan strategik petroleum negara serta mempelbagaikan laluan perdagangan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan akibat krisis geopolitik.

Dalam masa sama, beliau berpandangan Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya dalam ASEAN untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek keselamatan tenaga dan logistik maritim, sekali gus meningkatkan daya tahan kolektif rantau ini terhadap ketidaktentuan global.

“Selat Hormuz harus dilihat sebagai siren amaran strategik kepada Malaysia untuk memperkukuh sistem tenaga dan diplomasi ekonomi negara. Ini bukan soal panik, tetapi soal kesiapsiagaan dan kepimpinan dalam memastikan kedaulatan ekonomi terus terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan