Oleh Siti Nur Athirah Abdullah dan Nabila Uzma Abd Kadir
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Seruan kerajaan supaya rakyat mengutamakan barangan tempatan dilihat sebagai langkah strategik yang bukan sahaja mampu memperkukuh ekonomi domestik, malah menjadi perisai utama negara dalam menghadapi impak krisis tenaga global.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata sokongan terhadap produk buatan Malaysia secara langsung dapat membantu syarikat tempatan mengekalkan serta meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat.
“Dalam jangka masa pendek, amalan ini dapat mengurangkan tekanan terhadap imbangan dagangan dan nilai Ringgit, sekali gus meningkatkan daya tahan ekonomi negara daripada pelbagai kejutan luar,” katanya kepada Bernama.
Namun, beliau menegaskan bahawa langkah itu perlu sokongan ekosistem yang komprehensif, termasuk pemberian insentif seperti potongan cukai dan bantuan automasi kepada pengeluar tempatan bagi mengurangkan kos pengeluaran.
Mohamad Fazli turut menyarankan agar pemantauan harga diperketatkan bagi mengelakkan segelintir pihak mengambil kesempatan melakukan pencatutan atas alasan krisis global atau peningkatan permintaan terhadap produk tempatan.
Senada dengan pandangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr Saravanan Thambirajah berkata sokongan terhadap barangan tempatan perlu berasaskan nilai kepada pengguna dan bukannya sekadar bersandarkan sentimen semata-mata.
Saravanan berkata walaupun banyak produk tempatan kini kompetitif dari segi harga dan kualiti, pengeluar masih perlu menambah baik konsistensi dan inovasi produk agar benar-benar mampu bersaing dengan jenama import.
“Antara kebimbangan utama ialah kemungkinan kenaikan harga dan isu ketelusan. Jika kempen beli barangan tempatan disalah guna tanpa pemantauan, pengguna mungkin terpaksa membayar lebih untuk produk yang tidak setanding,” katanya.
Dalam masa yang sama, Saravanan turut mengingatkan kerajaan dan pemain industri supaya memastikan perlindungan pengguna tidak terjejas, merangkumi aspek kawalan harga yang munasabah, ketelusan pelabelan, serta peningkatan standard kualiti.
Bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Nor Zailin Haron berkata saranan itu satu inisiatif positif yang mampu memberikan nafas baharu kepada usahawan pada peringkat akar umbi.
Nor Zailin yang telah 15 tahun mengusahakan jualan kerepek pisang menyambut baik usaha itu, namun mengakui tumpuan kini lebih diberikan kepada usaha mengekalkan kelestarian perniagaan dalam mendepani kenaikan kos bahan mentah.
“Saranan kerajaan itu sangat bagus untuk usahawan. Walaupun berdepan cabaran kos bahan mentah seperti pisang dan minyak yang meningkat, kami tetap mengambil langkah proaktif dengan sentiasa menambah baik kualiti produksi dan strategi pemasaran bagi memastikan produk kekal berdaya saing,” katanya.
Pengusaha itu turut berpendapat penggunaan platform digital sebagai medium yang sangat membantu dalam menjangkau pasaran lebih luas, selaras dengan trend pembelian dalam talian yang semakin menjadi pilihan pengguna masa kini.
Sementara itu pekerja swasta Sally Ainidawati Tan Saleh, 52, berkata dia lebih cenderung memilih produk domestik berikutan faktor harga yang lebih stabil dan kualiti yang dilihat semakin baik.
Sally berkata dalam situasi ekonomi mencabar ketika ini, harga barangan tempatan khususnya keperluan dapur dilihat lebih terkawal berbanding barangan import yang mengalami kenaikan harga.
“Walaupun ada aspek seperti pembungkusan yang perlu ditambah baik, namun dari segi kualiti dan kesegaran, produk kita tidak kalah dengan barang luar. Apa yang penting, pengeluar harus konsisten menjaga kualiti, dan tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama memperkukuh ekonomi domestik dengan mengutamakan barangan tempatan, dan menyokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Anwar berkata demikian semalam menerusi hantaran di platform X selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial