AM > BERITA

Dasar Bekerja Dari Rumah Sektor Awam Dan GLC Bermula 15 April Ini - PM

01/04/2026 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesej video berkata keputusan itu, yang dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.

Beliau berkata ketegangan melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran itu telah menjejaskan rantaian bekalan global namun Malaysia masih mampu bertahan dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter buat masa ini.

“Jadi, bila keadaan ini melegakan sedikit tidak bermakna kita boleh selesa... penyakit mana-mana masyarakat baik keluarga kita atau negara kita, kalau kita agak terlalu selesa dan ambil ringan sahaja, ini mungkin mengundang masalah yang lebih berat.

“Kita harus terima kenyataan bahawa keadaan tidak seperti biasa... kalau keadaan itu mencemaskan maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa, dan kita mesti ikut rancangan kita,” katanya.

Anwar berkata kerajaan bertindak menampan impak krisis tenaga global ini menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat dengan memperuntukkan tambahan sebanyak RM4 bilion sebulan bagi menyerap impak kenaikan kos minyak dunia demi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan harga yang mendadak di pasaran.

Selain itu, bagi memastikan pengurusan sumber yang lebih efisien, kerajaan menyelaraskan kuota subsidi BUDI MADANI 95 kepada 200 liter sebulan bermula hari ini selain menguatkuasakan had pengisian harian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut mempergiat usaha mempelbagaikan sumber untuk menjamin bekalan tenaga negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan