IPOH, 1 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas kira-kira 145,000 kilogram sisa plastik bersama pelbagai jentera dan mesin bernilai RM8.5 juta dalam serbuan ke atas sebuah premis pemprosesan plastik tanpa kelulusan di Sungai Siput, semalam.
Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh berkata serbuan menerusi Ops Taring Alpha 5 pada 12 tengah hari oleh Cawangan Risik Batalion 3 Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) itu, dibuat dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.
Beliau berkata seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai pemilik premis berkenaan turut ditahan.
“Pemeriksaan mendapati premis tersebut telah memasang serta mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa sebarang notifikasi dan kelulusan daripada JAS.
“Pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar longgokkan plastik yang telah dan belum diproses, selain beberapa jentera dan mesin yang digunakan dalam aktiviti pemprosesan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Balveer berkata pemeriksaan lanjut mendapati premis itu telah beroperasi lebih tiga tahun dengan bekalan sisa plastik diperoleh dari kawasan perindustrian sekitar Kulim, Kedah sebelum diproses dan dihantar ke sekitar Lembah Klang bagi penghasilan resin.
Beliau berkata kes telah diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2024.
“Pihak JAS Perak juga telah mengambil tindakan menghentikan serta merta operasi mesin basuhan sisa plastik yang mencemar di bawah Seksyen38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Balveer berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti tanpa kelulusan serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha penguatkuasaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial