IPOH, 2 April (Bernama) -- Sebanyak 100,000 pengunjung disasarkan hadir ke Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak yang akan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini selama tiga hari bermula esok.
Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bahagian Korporat Anita Amri berkata PMR 2026 Perak merupakan kesinambungan inisiatif sejak 2024 bagi memudahkan akses rakyat kepada pelbagai perkhidmatan, bantuan dan inisiatif kerajaan secara terus di satu lokasi strategik.
"PMR 2026 ini bukanlah satu inisiatif yang baharu, sebaliknya telah mula dilaksanakan sejak 2024 dan kesinambungannya diteruskan pada tahun ini berikutan sambutan yang amat positif daripada rakyat.
“Untuk program yang berskala besar di Perak ini, jumlah pengunjung yang kita sasarkan adalah sebanyak 100,000 pengunjung," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini, hari ini.
Beliau berkata penganjuran kali ini mengangkat tema "Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni" dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertindak sebagai kementerian peneraju.
Anita berkata tema berkenaan dipilih bagi menzahirkan aspirasi kerajaan dalam mewujudkan integrasi antara pembangunan bandar yang mampan dengan pembentukan komuniti harmoni bagi menjamin kestabilan sosial sebagai tunjang kemajuan negara.
"Tema ini diangkat bagi menzahirkan aspirasi kerajaan dalam mewujudkan integrasi antara pembangunan fizikal dan juga kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bandar yang mampan.
"Apabila kementerian peneraju kita ialah KPKT, sudah tentu fokusnya lebih ke arah pembangunan bandar yang mampan serta inisiatif perumahan berkualiti untuk meningkatkan martabat kehidupan rakyat," katanya.
Beliau berkata PMR 2026 Perak turut menghimpunkan lebih 30 reruai jabatan daripada peringkat Persekutuan, negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat.
PMR 2026 Perak yang diadakan selama tiga hari itu akan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam, manakala untuk Ahad dari 9 pagi hingga 6 petang.
Antara aktiviti menarik termasuklah Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus, karnival kerjaya, penukaran topi keledar percuma, festival makanan tempatan, selain pertukaran minyak enjin motosikal dan gunting rambut percuma.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program itu, Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial