DUNIA > BERITA

SPESIMEN RAMA-RAMA AHLI ENTOMOLOGI TERKENAL KOREA AKAN DIKEMBALIKAN DARI JEPUN

24/09/2024 01:24 PM

SEOUL, 24 Sept (Bernama-Yonhap) -- Spesimen rama-rama jarang ditemui yang dikumpul oleh ahli entomologi terkenal Korea, Seok Joo-myung di seluruh negara semasa penjajahan Jepun akan dikembalikan ke Korea Selatan pada minggu ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Institut Sumber Biologi Kebangsaan (NIBR) berkata, pihaknya akan menerima sumbangan kira-kira 120 spesimen rama-rama yang dikumpul oleh Seok dari Universiti Kyushu, Jepun pada Rabu.

Seok, terkenal dengan sumbangannya dalam bidang taksonomi spesies rama-rama Korea, menjelajah ke seluruh Semenanjung Korea pada 1930-an dan 1940-an untuk menjalankan kajian dan berjaya mengumpul lebih 750,000 spesimen.

Beliau mengklasifikasikan rama-rama Korea kepada 248 spesies dan membetulkan nama saintifik yang salah untuk 844 spesies rama-rama, hingga mendapat gelaran "Dr. Butterfly."

Bagaimanapun, hampir semua spesimen rama-rama Seok telah hilang sebelum dan semasa Perang Korea 1950-1953.

Terdapat laporan bahawa beliau membakar kira-kira 600,000 spesimen, dan baki 150,000 lagi musnah semasa perang.

Hanya 32 spesimen berada di Korea Selatan, dan ia diisytiharkan sebagai harta budaya negara.

Pada Mac lalu, pasukan penyelidik NIBR mengesahkan bahawa beberapa spesimen milik Seok masih wujud di Jepun dan berjaya meyakinkan universiti Jepun itu untuk mengembalikannya.

Institut itu juga memaklumkan bahawa spesimen yang akan dipulangkan termasuk spesies rama-rama yang jarang ditemui di kawasan pergunungan yang kini merupakan Korea Utara.

NIBR merancang untuk mengadakan pameran khas mengenai spesimen rama-rama Seok di Seoul pada November.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan