EKONOMI > BERITA

KLUANG BAKAL JADI HAB LOGISTIK JOHOR - MENTERI BESAR

24/09/2024 02:54 PM

JOHOR BAHRU, 24 Sept (Bernama) -- Kluang bakal menjadi hab logistik bagi negeri Johor berikutan pembangunan beberapa projek infrastruktur di daerah itu seperti Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP), pelebaran lebuh raya PLUS dan kerja menaik taraf jalan persekutuan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek tersebut akan meningkatkan kesalinghubungan daerah itu yang sekali gus dapat membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat dan kawasan sekitar lain.

“Saya yakin ia (hab logistik) akan memberi satu sinar baharu untuk daerah Kluang dan kawasan-kawasan lain di Johor,” katanya kepada pemberita dalam satu temu bual di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, di sini, hari ini.

Turut hadir pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor, pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip, pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh, pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dan pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Raven Kumar Krishnasamy

Sementara itu, Onn Hafiz berkata bagi mengatasi masalah kesesakan di bandar Kluang, satu jalan pintasan sepanjang 2.1 kilometer akan dibina dengan peruntukan berjumlah RM60 juta.

Menurutnya, jalan pintasan itu akan dibina dari Taman Muhibah ke Layang yang akan memberi manfaat kepada 30,000 kenderaan setiap setiap hari.

Beliau berkata berkata kerajaan negeri telah memohon peruntukan untuk membina jalan pintasan tersebut sejak dua tahun lalu dan dijangka diluluskan tahun ini.

“Ini akan menjadi ‘game changer’ (pemangkin perubahan) yang memastikan kesesakan (di Kluang) dapat di kurangkan. Pengguna jalan raya tidak perlu lagi masuk ke pusat bandar sebaliknya menggunakan jalan pintasan,” katanya.

Sementara itu Mohamad Fazli berkata Kluang menerima peruntukan sebanyak RM122 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan termasuk di kawasan DUN Mahkota.

Beliau berkata peruntukan itu terdiri daripada kerja-kerja penyenggaraan untuk jalan negeri yang berjumlah RM26 juta, jalan pihak berkuasa tempatan (RM32 juta),  jalan Persekutuan (RM59 juta) dan lampu isyarat serta lampu jalan (RM2 juta).

Bagi sektor kesihatan, Ling berkata, Kluang setakat ini menerima peruntukan sebanyak RM305,000 yang melibatkan bantuan kepada 61 pantri klinik dan hospital selain tiga program klinik bergerak maju Johor serta skim ubat pos melibatkan 1,1171 penerima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan