DUNIA > BERITA

BELANDA AKAN BEKERJASAMA RAPAT DENGAN MALAYSIA DALAM PENGURUSAN AIR, ALAM SEKITAR

25/09/2024 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Belanda akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia ke arah mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Timbalan Duta Besar Kedutaan Belanda di Malaysia, Eva Oskam berkata ini terutamanya dalam bidang daya tahan iklim (SDG13) dan pengurusan air (SDG6).

Belanda terkenal dengan pengurusan air. 

"Dua puluh enam peratus daripada negara ini terletak di bawah paras laut, jadi menjadi pakar dalam air adalah keperluan untuk kehidupan di Belanda.

"Selaras dengan SDG 13 dan 6 ini, Belanda bekerjasama rapat dengan Malaysia ke arah daya tahan iklim dan pengurusan air," katanya dalam satu majlis meraikan Hari SDG ke-9 di Dataran DBKL, di sini, Rabu. 

Oskam juga menekankan keperluan dan kerjasama yang lebih kukuh daripada semua pihak untuk mempergiatkan usaha mencapai SDG.

"Memandangkan kita telah melepasi separuh jalan, kita mesti mengakui jarak yang belum dilalui dalam perjalanan kita ke arah matlamat ini. 

"Dunia menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan walaupun kemajuan telah dicapai, jelas bahawa kita tidak berada di landasan yang betul untuk mencapai SDG menjelang 2030. Ini memerlukan dedikasi, inovasi dan keazaman yang diperbaharui," katanya. 

Selain SDG13 dan 6, kedutaan juga bekerjasama dengan pelbagai organisasi tempatan mengenai SDG5 mengenai kesaksamaan jantina dan SDG8 untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Mengenai SDG 3 yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan yang baik, beliau berkata sebuah syarikat Belanda menerajui Cameron Highlands dalam menghasilkan tanaman bebas racun perosak di rumah hijau.

"Bersama-sama, kita boleh mencari penyelesaian inovatif, menggalakkan amalan inklusif, dan menyokong dasar yang mewujudkan perubahan positif," katanya. 

Acara anjuran bersama kedutaan dan Agenda Tempatan 21 (LA21) itu disertai oleh 128 pelajar dari empat sekolah tempatan di bawah program "Sekolah Mampan", bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu kelestarian dan alam sekitar dalam kalangan generasi muda selaras dengan SDG. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif turut mengambil bahagian dalam acara itu. 

Peserta turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk membaling bola lumpur yang dibuat menerusi inisiatif Hari Sungai Sedunia oleh NGO Duta Hutan ke dalam Sungai Klang bagi melambangkan usaha memerangi pencemaran sungai. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan