DUNIA > BERITA

ANA TIDAK TAWAR PERKHIDMATAN TEKSI UDARA DI EKSPO DUNIA 2025 DI OSAKA

25/09/2024 09:27 PM

TOKYO, 25 Sept (Bernama-Kyodo) -- ANA Holdings Inc. berkata pada Rabu ia tidak akan menawarkan perkhidmatan teksi udara komersial di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, yang dilihat sebagai satu daripada kemuncak acara itu, lapor Agensi Berita Kyodo.

Japan Airlines Co juga sedang mempertimbangkan semula rancangannya untuk menyediakan teksi udara di ekspo itu, sumber yang mengetahui perkara itu berkata, bermakna keempat-empat pengendali kereta terbang yang merancang perkhidmatan komersial pada acara itu tidak mungkin menawarkannya.

ANA menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sijil keselamatan daripada pihak berkuasa tepat pada masanya. Bagaimanapun, keempat-empat pengendali masih akan menjalankan penerbangan demonstrasi, menurut syarikat berkenaan.

Teksi udara dijangka menyediakan akses ke tempat acara itu di Yumeshima, sebuah pulau buatan di Teluk Osaka.

ANA bekerjasama dengan Joby Aviation Inc. untuk mengendalikan pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik yang dibangunkan oleh syarikat pemula dari Amerika Syarikat (AS), manakala JAL sedang bersedia untuk menggunakan kenderaan yang dibangunkan oleh Volocopter GmbH dari Jerman.

Dua lagi pengendali, syarikat pemula kereta terbang yang berpangkalan di Jepun SkyDrive Inc dan rumah dagangan Jepun Marubeni Corp, telah menyatakan bahawa mereka tidak akan mengendalikan penerbangan komersial di ekspo itu.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan