DUNIA > BERITA

13,500 RAKYAT SYRIA TINGGALKAN LUBNAN KEMBALI KE SYRIA SEJAK SERANGAN UDARA ISRAEL

27/09/2024 12:38 AM

BEIRUT, 26 Sept (Bernama-Anadolu) -- Kira-kira 13,500 rakyat Syria meninggalkan Lubnan untuk pulang ke Syria sejak serangan udara Israel bermula pada Isnin, menurut laporan Agensi Anadolu, memetik kenyataan menteri dalam negeri Lubnan.

"Terdapat 13,500 rakyat Syria yang meninggalkan Lubnan untuk pulang ke Syria," kata Bassam Mawlawi dalam sidang akhbar di Beirut pada Khamis.

Lubnan menempatkan 1.8 juta pelarian Syria, kira-kira 900,000 daripadanya didaftarkan dengan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Mawlawi berkata kira-kira 70,100 orang telah mengambil perlindungan di 533 tempat perlindungan di Lubnan disebabkan serangan berterusan Israel.

“Terdapat juga tempat perlindungan di kawasan Bekaa di timur Lubnan yang ditetapkan untuk rakyat Syria,” tambahnya.

Israel telah mengebom Lubnan sejak pagi Isnin, membunuh sekurang-kurangnya 640 orang dan mencederakan lebih 2,500 yang lain, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan sembilan negara lain pada malam Rabu telah menyeru Israel dan Hizbullah untuk bersetuju kepada gencatan senjata selama 21 hari di tengah-tengah peningkatan peperangan rentas sempadan mereka.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafikan laporan media yang menyatakan beliau bersetuju dengan gencatan senjata yang dicadangkan, dengan berkata bahawa beliau telah mengarahkan tenteranya untuk terus menyerang Lubnan dengan kekuatan penuh.

Perdana menteri juga menyatakan bahawa perang Israel di Gaza akan berterusan “hingga semua matlamat perang dicapai.”

Hizbullah dan Israel terlibat dalam pertempuran lintas sempadan sejak permulaan perang Israel di Gaza, yang membunuh hampir 41,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Okt yang lepas.

Komuniti antarabangsa telah memberi amaran terhadap serangan ke atas Lubnan, kerana ia berpotensi menyebarkan konflik Gaza ke seluruh rantau ini.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan