DUNIA > BERITA

AZERBAIJAN TANDATANGANI KONTRAK BELI JET PEJUANG JF-17 PAKISTAN

27/09/2024 12:43 AM

ISLAMABAD, 26 Sept (Bernama-Anadolu) -- Azerbaijan telah menandatangani kontrak untuk membeli jet pejuang JF-17 Block-III dari Pakistan, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan rasmi pada Khamis.

Pembelian pesawat JF-17 itu "akan memperkukuh keupayaan kuasa udara Azerbaijan," menurut kenyataan pihak Angkatan Tentera Pakistan.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Islamabad untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara sahabat, menurut kenyataan itu lagi

Perjanjian mengenai JF-17  itu  dicapai susulan lawatan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev ke Pakistan pada bulan Julai.

Aliyev telah diberi taklimat mengenai keupayaan tempur dan pelbagai pilihan penggunaan jet pejuang JF-17 Block-III semasa lawatan itu, kata  Angkatan Tentera Pakistan.

Pakistan menghantar kontinjen Tentera Udara ke ibu negara Azerbaijan, Baku, untuk menghadiri Pameran Pertahanan Antarabangsa Azerbaijan (ADEX) minggu ini, mempamerkan kehebatan udara dan paparan statik JF-17 Thunder Block-III.

Aliyev melawat paparan statik JF-17 Block-III dan kemudian menyaksikan demonstrasi udara jet pejuang itu, mempamerkan kecekapan dan kemampuan pengendalian pesawat serta profesionalisme juruterbang Angkatan Tentera Pakistan, menurut kenyataan itu.

JF-17 Thunder Block-III mampu menjalankan pelbagai misi tempur yang menyediakan pilihan penggunaan kuasa udara kontemporari.

Tentera Udara Pakistan secara rasmi memasukkan pesawat tempur JF-17 Thunder Block II dua tempat duduk ke dalam kumpulan pesawatnya pada tahun 2020 dan juga melancarkan pengeluaran pesawat tempur berkenaan yang dibangunkan bersama oleh Islamabad dan Beijing.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan