DUNIA > BERITA

LUBNAN HADAPI SERANGAN UDARA BESAR-BESARAN ISRAEL - SUMBER TENTERA

28/09/2024 10:12 PM

BEIRUT, 28 Sept (Bernama-Xinhua) -- Pesawat perang Israel melancarkan siri serangan udara ke atas lokasi Hizbullah serta bandar-bandar dan perkampungan di selatan dan timur Lubnan pada awal pagi Sabtu, kata sumber tentera negara ini.

Sumber yang enggan dikenali itu memberitahu Xinhua bahawa pesawat perang Israel melancarkan lebih daripada 100 serangan udara di selatan Lubnan dan kira-kira 50 serangan di bandar-bandar dan perkampungan di timur Lubnan.

Mereka berkata serangan berkenaan menyasarkan lokasi Hizbullah dan pinggir puluhan bandar, selain kawasan terbuka, lembah dan hutan.

"Kebanyakan serangan di selatan Lubnan menyasarkan bandar-bandar dan kampung-kampung yang mengelilingi Bandar Tyre dan Nabatieh, kawasan tinggi di Wilayah Jezzine, Iqlim al-Tuffah, dan kampung-kampung sempadan yang meluas dari kampung di tenggara Kafr Kila hingga ke pinggir Naqoura di barat," kata sumber tentera Lubnan itu.

Serangan berkenaan turut menyasarkan empat pusat pertahanan awam, mencederakan lima orang yang kemudiannya dipindahkan ke sebuah hospital di Bandar Nabatieh, manakala di timur Lubnan, serangan mengenai Bandar Baalbek dan kampung-kampung sekitarnya, menurut sumber itu.

Konfrontasi antara Hizbullah dan Israel semakin memuncak kebelakangan ini selepas Israel mengumumkan perluasan serangannya terhadap Hamas ke Lubnan.

Sementara itu, Hizbullah mengumumkan permulaan fasa baru dalam perjuangannya untuk menyokong Gaza.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan