DUNIA > BERITA

GPM SEDANG ATUR BANTUAN KECEMASAN US$10,000 UNTUK MASYARAKAT DI LUBNAN

28/09/2024 11:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Global Peace Mission (GPM) Malaysia sedang mengatur penyaluran bantuan kecemasan dan segera sebanyak US$10,000 (US$1=RM4.125) kepada masyarakat awam yang terjejas dalam konflik di Lubnan.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM Syahrir Azfar Saleh dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan berbentuk keperluan asas bagi tempat tinggal sementara seperti khemah, tilam, bantal dan selimut selain makanan panas serta keperluan bayi dan kanak-kanak sedang diatur untuk diagihkan.

“Masyarakat Malaysia yang prihatin dan ingin turut sama membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Global Peace Mission (Maybank: 5642 2161 1602) dengan rujukan Lubnan atau klik pautan berikut: https://jomsedekah.com/donations/pedulilubnan/,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya juga menggesa seluruh pimpinan dunia untuk bersatu hati dan mengambil tindakan segera dalam menghentikan konflik yang semakin meruncing antara Israel dan Hezbollah di Lubnan ketika pertempuran yang hampir memasuki setahun berlaku di Palestin, khususnya di Gaza.

“Kami amat prihatin dengan perkembangan mutakhir ini yang bukan sahaja mengancam kestabilan kawasan tersebut tetapi turut membawa penderitaan besar kepada masyarakat awam.

“Peperangan yang berlarutan ini telah mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada ribuan individu termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah manakala kehancuran infrastruktur awam serta gangguan terhadap kehidupan harian menambahkan lagi penderitaan berpanjangan penduduk tempatan,” katanya. 

Syahrir Azfar berkata justeru itu, GPM mendesak masyarakat antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa besar dunia untuk mempercepat rundingan damai serta mencari penyelesaian diplomatik yang mampan.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk meletakkan nyawa manusia dan kesejahteraan penduduk sebagai keutamaan. Kami menyeru supaya langkah-langkah segera diambil untuk melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih dahsyat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata GPM menekankan kepentingan dialog dan rundingan dalam menyelesaikan konflik dan berkata keganasan bukanlah jalan untuk menyelesaikan perbezaan.

"Kami berdiri teguh bersama komuniti dunia dalam usaha untuk mencapai keamanan yang berkekalan, demi kepentingan generasi masa kini dan akan datang,” katanya. 

Konfrontasi antara Hizbullah dan Israel semakin memuncak kebelakangan ini selepas Israel mengumumkan perluasan serangannya terhadap Hamas ke Lubnan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan