DUNIA > BERITA

JURUTERA QANTAS BERI AMARAN GANGGUAN PENERBANGAN SUSULAN MOGOK

30/09/2024 11:50 AM

SYDNEY, 30 Sept (Bernama-Xinhua) -- Rakyat Australia diberi amaran mengenai kemungkinan gangguan penerbangan selepas jurutera Qantas, syarikat penerbangan nasional Australia, menghentikan kerja di lapangan terbang di seluruh negara berikutan pertikaian gaji, lapor Xinhua.

Lebih 1,000 jurutera yang bekerja dengan Qantas di lapangan terbang utama di Sydney, Melbourne, Brisbane, Perth, Adelaide dan Canberra pada pagi Isnin mengadakan mogok sebagai sebahagian daripada tindakan industri yang menuntut kenaikan gaji.

Qantas ialah syarikat penerbangan nasional Australia dan syarikat penerbangan terbesar di negara itu. Pada Ogos, syarikat itu melaporkan keuntungan sebanyak A$1.25 bilion (US$864.5 juta) bagi tahun kewangan 2023-24.

Perikatan Jurutera Qantas, mewakili jurutera yang menganggotai beberapa kesatuan sekerja, menyatakan pada Ahad bahawa penerbangan antara bandar berkemungkinan akan terjejas dengan ketara akibat tindakan mogok itu.

Perikatan itu menuntut perjanjian perusahaan baharu dengan kenaikan gaji 15 peratus untuk tahun pertama diikuti kenaikan 5 peratus bagi tahun-tahun berikutnya.

"Ini adalah pekerja yang memastikan anda sampai dengan selamat. Kami memeriksa pesawat untuk memastikan semuanya selamat sebelum berlepas," kata Steve Murphy, ketua Kesatuan Pekerja Pembuatan Australia (AMWU) kepada televisyen Seven Network pada Isnin.

Mogok pada Isnin adalah yang kedua dalam siri mogok yang dirancang oleh para jurutera selepas mogok di lapangan terbang Melbourne pada Khamis lalu.

Jurucakap syarikat penerbangan itu pada Ahad menyatakan Qantas mempunyai rancangan kontingensi dan tidak menjangka tindakan mogok itu akan memberi kesan kepada pelanggan atau rancangan perjalanan mereka.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan