VIDEO LELAKI LEPAS TEMBAKAN DI TEMPAT AWAM ADALAH OPERASI TEMBAK GAGAK

01/10/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Rakaman video yang tular hari ini menunjukkan seorang individu melepaskan tembakan di kawasan awam di Subang Jaya dekat sini adalah operasi menembak gagak yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata operasi yang dijalankan pada Sabtu lepas telah mendapat kelulusan pihak Unit Pelesenan Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau berkata operasi berkenaan juga telah  dimaklumkan kepada orang ramai melalui notis oleh MBSJ.

"Operasi disertai 25 peserta terdiri daripada orang awam yang memiliki lesen senjata api sah dan pihak penganjur juga mengambil langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video mengenai kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Wan Azlan berkata operasi yang diadakan bagi mengawal populasi gagak itu berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan