DUNIA > BERITA

INDONESIA MINTA EXXONMOBIL TINGKATKAN PENGELUARAN MINYAK

30/09/2024 08:14 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 30 Sept (Bernama) -- Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Bahlil Lahadalia telah menggesa ExxonMobil Cepu Ltd (EMCL) untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 150,000 tong minyak sehari (BOPD) menjelang 2026 daripada sasaran semasa iaitu 125,000 BOPD.   

Beliau berkata pengeluaran minyak negara ini sedang mengalami kemerosotan yang ketara, menyebabkan kerajaan menekankan keperluan untuk meningkatkan pengeluaran negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Pada masa ini, pengeluaran minyak nasional kita adalah sekitar 577,000 BOPD, dengan Blok Cepu menyumbang kira-kira 144,000 BOPD, menjadikannya antara pengeluar terbesar di negara ini,” kata Bahlil.

Menurut kenyataan kementerian itu, arahan ini diumumkan semasa pertemuan dengan pengendali di Blok Cepu, kawasan penerokaan minyak dan gas yang terletak di Daerah Bojonegoro, Jawa Timur, pada Isnin.

Bahlil menyatakan keyakinannya: “Saya yakin bahawa dengan pengurusan berkesan dan semangat inovatif pasukan Exxon, kita dapat melepasi 150,000 tong sehari.”

Beliau menegaskan bahawa kerajaan semasa, bersama-sama pentadbiran baharu Presiden yang dipilih Prabowo Subianto, menyokong sepenuhnya  inisiatif ini dan peka kepada  kesan ketara terhadap hasil negara dan rizab asing.

Presiden EMCL, Carole Gall dalam responsnya komited untuk meningkatkan pengeluaran dari Blok Cepu, dengan menyoroti pengeluaran minyak pertama daripada penggerudian “infill clastic” Banyu Urip, yang telah dimulakan tahun ini dan dijangka menghasilkan sekitar 13,300 BOPD.

“Ini adalah langkah penting untuk meningkatkan pengeluaran dari Blok Cepu dan pencapaian bersejarah dengan penggerudian ‘infill clastic’ Banyu Urip,” kata Gall, sambil menambah bahawa kejayaan projek ini adalah penting bagi ExxonMobil, rakan-rakan kongsinya, dan keterjaminan tenaga Indonesia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan