DUNIA > BERITA

3.9 JUTA PENGUNDI TUNAI TANGGUNGJAWAB DALAM FASA AKHIR PILIHAN RAYA KASHMIR

01/10/2024 01:16 PM

SRINAGAR (Jammu dan Kashmir), 1 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pengundi di Kashmir yang ditadbir India pada Selasa keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam fasa ketiga dan terakhir pilihan raya penting yang akan menentukan nasib 415 calon, lapor Agensi Anadolu.

Lebih 3.9 juta pengundi layak mengundi bagi 40 kerusi dewan undangan negeri di tujuh daerah di wilayah itu -- tiga di daerah utara wilayah Kashmir dan empat daerah di wilayah Jammu.

Hampir sembilan juta orang layak mengundi dalam pilihan raya peringkat negeri bagi Jammu dan Kashmir yang mempunyai 90 kerusi dewan undangan negeri. 

Kerusi itu diagihkan antara dua kawasan yang membentuk wilayah kesatuan -- 47 untuk Kashmir dan 43 untuk Jammu.

Fasa pertama mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 61.1 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya India. 

Peratusan keluar mengundi fasa kedua ialah 56.79 peratus, menurun dengan peratusan keluar mengundi yang rendah sebanyak 29.24 peratus di lapan kawasan pilihan raya ibu kota Srinagar. 

Pengiraan undi akan diadakan pada 8 Oktober.

Kemuncak fasa akhir ialah lonjakan sokongan kepada Parti Awami Ittehad yang diketuai oleh Sheikh Abdul Rashid, lebih dikenali sebagai "Jurutera Rashid" yang memenangi kerusi di parlimen India tahun ini walaupun dipenjarakan atas tuduhan membiayai keganasan.

Beliau secara mengejut diberikan jaminan pada 11 September untuk berkempen bagi partinya. Dipenjarakan sejak Ogos 2019, ikat jaminnya berakhir pada 2 Oktober, menyebabkan lawannya di Kashmir mengaitkannya dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India.

Pilihan raya itu menjadi lebih penting kerana ia adalah yang pertama sejak India memansuhkan status autonomi khas wilayah majoriti Muslim itu pada Ogos 2019.

--BERNAMA-ANADOLU

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan