SUKAN > BERITA

ACLE: JDT CATAT KEMENANGAN PERTAMA, TEWASKAN SHANGHAI SHENHUA 3-0

01/10/2024 10:43 PM

ISKANDAR PUTERI, 1 Okt (Bernama) -- Wakil negara Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan kemenangan pertama apabila menewaskan kelab China Shanghai Shenhua FC 3-0 pada perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25, malam ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini itu skuad Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio selesa mendahului menerusi jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-11. 

Pada minit ke-23, gawang Shanghai Shenhua dibolosi lagi namun jaringan Oscar Arribas dibatalkan sejurus semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Arif Aiman yang menghantar bola berada pada kedudukan ofsaid. 

Bagaimanapun, JDT tidak berduka terlalu lama apabila Jorge Leonardo Obregon Rojas berjaya menanduk masuk bola ke gawang pasukan pelawat pada minit ke-26 menjadikan kedudukan 2-0.

Babak kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan melakukan serangan bertubi-tubi sebelum JDT menjaringkan gol ketiga melalui sepakan percuma Juan Muniz Gallego dari luar kotak penalti pada minit ke-80. 

Pada perlawanan pertama ACLE di Stadium Bola Sepak Pudong, China, 18 Sept lepas skuad Harimau Selatan itu terikat 2-2 dengan jaguh China Shanghai Port FC. 

JDT dijadual bertemu kelab Korea Selatan Gwangju FC pada aksi ketiga Kumpulan A ACLE di Stadium Piala Dunia Gwangju, 22 Okt ini. 

Selain Gwangju, JDT juga akan berhadapan Ulsan Hyundai FC (Korea Selatan), Shandong Taishan FC (China), Buriram United FC (Thailand), Central Coast Mariners FC (Australia) dan Pohang Steelers (Korea Selatan).

Saingan ACLE yang dahulunya dikenali ACL bermula 16 Sept hingga 19 Feb 2025 menggunakan format “sistem Swiss” yang serupa dengan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2024/25.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan