DUNIA > BERITA

SEMUA RAKYAT MALAYSIA SELAMAT DIPINDAHKAN SUSULAN BANJIR DAN TANAH RUNTUH DI NEPAL

01/10/2024 09:18 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Kementerian Luar Negeri Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu mengesahkan bahawa semua pelancong Malaysia yang terjejas akibat tanah runtuh dan banjir di Nepal selamat dipindahkan ke Kathmandu.

Kementerian itu menyatakan bahawa pihaknya memantau rapat kejadian hujan lebat luar biasa yang melanda beberapa daerah di Nepal termasuk Kathmandu, sejak 26 Sept lalu.

"Memandangkan semua akses ke luar Lembah Kathmandu musnah berikutan tanah runtuh dan banjir, rakyat Malaysia yang berhasrat membuat perjalanan ke Kathmandu dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan sehingga keadaan pulih," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu juga menasihatkan rakyat Malaysia di Nepal sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu digesa berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my dengan kadar segera.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu di alamat Bakhundole-3, Lalitpur, Kathmandu, Nepal, Telefon: +977-15445689 | +977-9801008000 (untuk kecemasan) dan e-mel: mwkathmandu@kln.gov.my.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal meramalkan hujan akan berterusan sehingga 4 Okt.

Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional Nepal mengumumkan bahawa hujan kali ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan di Nepal.

Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 200 nyawa manakala 26 lagi masih hilang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan