DUNIA > BERITA

PM SINGAPURA UCAP TAHNIAH KEPADA PM BAHARU JEPUN ISHIBA

01/10/2024 09:37 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 1 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengucapkan tahniah kepada Shigeru Ishiba atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri baharu Jepun pada Selasa.

Dalam surat kepada ketua Parti Demokratik Liberal yang memerintah, Wong berkata beliau menantikan peluang untuk bekerjasama dengan Ishiba bagi mempererat lagi hubungan antara Singapura dan Jepun, terutama ketika kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2026.

"Singapura dan Jepun menikmati hubungan yang mesra, substantif dan lama terjalin. Kita bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pertahanan.

"Kerjasama kita turut berkembang dalam bidang-bidang baharu seperti syarikat baharu dan inovasi, transformasi hijau dan digital, serta kerjasama keselamatan," kata Wong, sambil menambah bahawa kedua-dua negara juga telah bekerjasama dalam situasi krisis seperti pandemik COVID-19.

Singapura dan Jepun turut bekerjasama dengan baik dalam forum serantau dan antarabangsa, katanya.

Wong berkata Singapura sebagai penyelaras hubungan ASEAN-Jepun, komited sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama Jepun dengan kumpulan serantau itu.

Ishiba secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun oleh Parlimen negara itu pada Selasa, menggantikan Fumio Kishida.

Sementara itu, dalam surat berasingan kepada Kishida, Wong berkata bahawa Jepun telah menjadi lebih kuat di peringkat domestik dan antarabangsa di bawah kepimpinannya.

Wong turut berkata bahawa hubungan antara Singapura dan Jepun semakin erat semasa tempoh kepimpinan Kishida dalam pelbagai bidang.

Teks surat itu dikongsi oleh Kementerian Luar Singapura (MFA).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan