DUNIA > BERITA

MALAYSIA CATAT KETIBAAN PELANCONG TERTINGGI KE INDONESIA PADA OGOS 2024

03/10/2024 02:46 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 3 Okt. (Bernama) -- Malaysia mencatatkan jumlah pelancong tertinggi ke Indonesia pada Ogos 2024 dengan 188,750 pengunjung, merangkumi 14.09 peratus daripada keseluruhan ketibaan pelancong, menurut Badan Pusat Statistik (BPS).

Pemangku Ketua BPS, Amalia Adininggar Widyasanti berkata jumlah pengunjung dari Malaysia meningkat 6.21 peratus berbanding bulan sebelumnya dan hampir lapan peratus berbanding Ogos tahun lalu.

"Selepas Malaysia, pengunjung dari Australia berjumlah 153,720 orang, diikuti oleh pelancong China seramai 126,080 orang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Amalia, kebanyakan pelancong Malaysia dan China tiba melalui Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Banten, manakala pelancong dari Australia masuk melalui Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai di Bali.

Secara keseluruhan, Indonesia mengalu-alukan ketibaan 1.34 juta pelancong pada Ogos, menyaksikan peningkatan sebanyak 2.23 peratus berbanding Julai dan peningkatan 18.30 peratus berbanding Ogos tahun lalu.

Secara purata, pelancong menginap selama 8.27 malam di Indonesia pada Ogos, dengan pengunjung dari negara ASEAN mencatat tempoh penginapan paling singkat iaitu 3.54 malam, manakala pelancong dari Afrika tinggal paling lama iaitu 15.66 malam.

Dari segi kewarganegaraan, pelancong dari Yaman mencatat tempoh penginapan individu paling lama dengan purata 27.83 malam, berbanding purata tempoh penginapan paling singkat iaitu 2.02 malam bagi pelancong dari Hong Kong.

Amalia turut menggariskan pemulihan sektor pelancongan Indonesia, dengan ketibaan seramai 9.09 juta pelancong dari Januari hingga Ogos 2024, menandakan peningkatan sebanyak 20.38 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan