DUNIA > BERITA

ASEAN DI VIENTIANE: MAMPUKAH PEMIMPIN HADAPI TEKANAN GEOPOLITIK?

04/10/2024 11:58 PM

Oleh P. Vijian

PHNOM PENH, 4 Okt (Bernama) -- Apabila para pemimpin Asia Tenggara tiba di Vientiane, Laos untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN minggu hadapan, mereka akan mengambil kira ketegangan global yang berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan dan kestabilan rantau ini.

Risiko geopolitik yang melibatkan konflik di Gaza-Israel-Iran hingga ke Ukraine-Rusia berpotensi memberi kesan berantai terhadap harga komoditi, minyak mentah, emas, mata wang dan laluan perkapalan - boleh merugikan ekonomi yang sedang membangun dan bergantung kepada pasaran dan rantaian bekalan global.

Walaupun wujud perbezaan pendapat mengenai isu serantau seperti perang saudara di Myanmar dan pertikaian di Laut China Selatan, para pemimpin perlu merangka strategi bersama dan rancangan kontingensi secara kolektif sekiranya konflik di Timur Tengah semakin memuncak.

Namun, perkara ini lebih mudah dikatakan berbanding dilakukan kerana kesemua 10 anggota ASEAN mempunyai agenda masing-masing.

Di rantau ini, cabaran ASEAN meliputi konflik di Selatan Thailand, perang berpanjangan di selatan Filipina, nasib etnik Rohingya serta kebangkitan fundamentalisme agama.

Selain itu, masalah seperti perjudian dalam talian rentas negara yang mendorong pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, dan aliran “black money” terus menghantui kerajaan Asia Tenggara. Perubahan iklim turut menambah lagi bebanan.

Meskipun isu-isu ini terus menjadi duri dalam daging, para pemimpin sering menggunakan kod asas ASEAN iaitu dasar tidak campur tangan sebagai perisai.

Dalam situasi ini, konsep ‘Pemusatan ASEAN’ yang menekankan kedudukan ASEAN di barisan hadapan dalam menyelesaikan konflik serta matlamat Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN untuk mempromosikan zon aman, akan dipersoalkan.

"ASEAN sedang melalui masa yang sukar memandangkan kumpulan ini masih belum menemui penyelesaian yang praktikal dan berkesan terhadap masalah Myanmar. Pertikaian di Laut China Selatan yang melibatkan China juga semakin rumit dengan Filipina tegas mempertahankan haknya sementara negara lain tidak banyak dapat dilakukan.

"Saya percaya Sidang Kemuncak di Laos ini hanya akan mengulangi kebimbangan kolektif ASEAN," kata Felo Penyelidik Kanan Dr Rahul Mishra dari Universiti Thammasat, Bangkok kepada Bernama melalui temu bual e-mel.

Sidang kemuncak ini dijangka menjadi acara istimewa yang dianjurkan oleh satu-satunya negara tanpa pantai di Asia Tenggara dan satu daripada lima negara Sosialis yang masih ada - menjadikannya lokasi penting untuk persidangan perdagangan utama.

Apabila Vientiane menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dari 6 hingga 11 Okt, isu keselamatan serantau dijangka menjadi agenda utama, dan para pemimpin perlu mencapai kesepakatan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan yang kukuh di rantau yang semakin pesat membangun ini.

Pakar keselamatan dan pengganas antarabangsa, Dr Rohan Gunaratna, Profesor Kajian Keselamatan di S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura, memberi amaran bahawa konflik lama sedang berubah bentuk kepada dimensi baru, bukan sahaja sebagai ancaman keselamatan tetapi juga menambah tekanan politik dalam penyelesaian isu-isu terbabit.

"Pengganas merentas sempadan, aliran wang merentas sempadan, dan propaganda merentas sempadan. ASEAN memerlukan pangkalan data bersama untuk mengesan perkara ini, dan negara-negara ASEAN yang berpengalaman dalam menangani isu-isu ini perlu berkongsi kepakaran mereka," kata Rohan kepada Bernama.

Perubahan kepimpinan di Thailand dan Indonesia, kedua-duanya anggota berpengaruh dalam blok perdagangan boleh mengubah hala tuju ASEAN pada masa depan.

Kemahiran politik Perdana Menteri muda Thailand, Paetongtarn Shinawatra masih belum diuji sejak mengambil alih jawatan pada Ogos, manakala perlantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia yang baharu pada akhir Oktober mungkin menentukan hala tuju kumpulan ini.

Bercakap kepada Bernama dari Kedah, Pakar Politik dan Pengajian Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata sidang kemuncak di Vientiane akan bersifat sederhana kerana isu-isu besar mungkin tidak akan dibincangkan secara mendalam.

"Laos sangat rapat dengan China kerana pelaburan yang diterima, oleh itu mereka tidak mungkin menyentuh isu-isu sensitif seperti Myanmar atau Laut China Selatan.

"Sidang Kemuncak ini akan lebih menumpukan kepada membina hubungan kerjasama dalam kalangan anggota ASEAN untuk menangani perubahan iklim, keselamatan makanan, keselamatan tenaga dan mempromosikan teknologi hijau.

"Membangunkan lebih banyak hubungan antara rakyat dan kerajaan, serta mempromosikan perdagangan intra-ASEAN akan menjadi agenda utama dan ini juga sejajar dengan tema sidang kemuncak Laos iaitu ‘Enhancing Connectivity and Resilience’," kata Mohd Azizuddin.

Ketegangan di Timur Tengah yang semakin memuncak juga mungkin akan mempengaruhi suasana di Vientiane, memaksa para pemimpin untuk bekerja lebih keras mencapai kesepakatan demi melindungi keselamatan rantau ini.

Foto pemimpin-pemimpin kanan yang tersenyum pada akhir setiap sidang kemuncak mungkin kali ini tidak seceria kebiasaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan